Friday, August 15, 2008

Semuanya Indah Kerana ALLAH

SEMUANYA INDAH KERANA ALLAH

Prolog

Muka jernih Muhammad Asadullah tiba-tiba berubah mendengar perkhabaran dari ibunya, Hajjah Masyitah. ‘Biar betul? Tak mungkin. Tak boleh jadi. Tak mungkin semudah itu. Mustahil sesenang itu?’ getus hati Muhammad Asadullah. Muka Hajjah Masyitah tidak seperti selalu, seolah-olah ada batu besar yang menekan mindanya.

* * *

‘Ya ALLAH, apa nak jadi dengan aku! Betapa berdosanya aku ya ALLAH. Layakkah aku mendambakan keampunan dari-MU ya ALLAH? Hamba ini telah merosakkan hamba-MU yang lain. Besar dosaku ya ALLAH. Saban malam ku doakan agar dia tidak apa-apa. Tapi lain pula yang jadi ya ALLAH. Cukuplah apa yang aku buat padanya. Cukuplah seksa dia menjauhi diri aku selepas apa yang aku buat padanya. Aku tak sanggup lagi menanggung seksa, azab dariMU ya ALLAH. Ampunkan aku ya ALLAH ‘ rintih hati Muhammad Asadullah dalam tahajjudnya. Seiring itu, air mata penyesalannya tidak henti-henti mengalir.

* * *

Muka pucat Zinnirah mengukir senyuman tatkala melihat seorang bayi comel diletakkan di sebelahnya. ‘Maafkan ummi nak, bukan salahmu lahir tanpa ayah’ bisik hati Zinnirah kepada bayi itu. Muka bayi itu mirip muka babanya, Tuan Haji Nasrullah. Muka Zinnirah juga iras muka babanya.

Dikisahkan...

“Ada hati perempuan yang penuh maksiat ni nak nasihat aku. Hei, cermin muka tu dulu. Jangan ingat kau pakai purdah dah layak nak nasihat orang. Sedar la diri sikit. Engkau tu pernah berzina!” kata Latifah. Sayang, peribadi tak seindah nama.

Zinnirah hanya mampu tertunduk. Bibirnya cuba membela, tetapi tiada guna keterangannya buat orang sekeras Latifah. Sudah beberapa kali dia dimalukan sebegitu di depan khalayak ramai, terutama di kafetaria seperti hari ini. Hinggakan pelanggan kafetaria, yang terdiri daripada pelajar-pelajar, seakan-akan sudah lali dengan keadaan seperti itu.

“Sabarlah Zie, dia tu memang takkan dengar nasihat orang. Dah puas orang lain nasihat, tapi tak dengar juga. Fitnah dia kat enti tu, tak betul. ALLAH lebih mengetahui. Masyarakat suka menghukum dari apa yang di dengar dari orang, bukan dari mulut kita sendiri. Enti tak payah bersedih la. ALLAH dah cakap, ((Jangan engkau bersedih, jangan pula engkau berasa lemah, sedangkan engkau berada di tempat yang tinggi, kalau engkau betul-betul beriman)),” pujuk Mardhiyah.

Sudah lama dia bersabar, kalau tidak pasti air matanya menitis setiap kali dituduh sebegitu. Bukan Latifah seorang yang beranggapan sebegitu, malah ramai. Hanya sahabat rapat yang mempercayainya. Sahabat seperjuangan sejak dahulu lagi. Siapa senang bila melihat dia berkahwin sebaik sahaja selepas menduduki peperiksaan SPM. Walaupun rahsia itu cuba disimpan, tetapi sedar-sedar sudah heboh satu kampung.

Betapa perit babanya, Haji Nasrullah menanggung malu dan betapa pedih hati Haji Nasrullah menerima tohmahan. Zinnirah bersyukur kerana babanya masih mempercayainya walaupun pada mulanya agak sangsi. Mamanya, Hajjah Maryam pun menerima nasib yang sama. Memang pada mulanya hanya kakaknya Zuraida sahaja yang membela, tapi atas usaha Zuraida yang tidak henti menerangkan kebenaran kepada mama dan babanya akhirnya mereka boleh menerima hakikat.

“Kenapa dengan Latifah tu? Merah mukanya. Lepas tu dijeling pula ana ni,” tanya ‘Iffah sambil duduk di sebelah Zinnirah setelah meletakkan buku di atas meja.

“Biasalah, cemburu yang tak pernah padam. Kebenaran disangkal, fitnah ditelan mentah-mentah,” terang Mardhiyah dalam bentuk kiasan. Zinnirah hanya mengukir senyuman, tetapi hambar.

“Ana tak fahamlah korang ni, dari satu sekolah pun nak bergaduh. Sepatutnya ukhuwah tu makin mantap”

“Macam ana cakap tadi bila cemburu, atau lebih tepat dengki bertandang, musnah segalanya.”

Suasana sunyi seketika. Hanya bunyi suara pelanggan lain yang sedang makan di kafetaria itu sahaja kedengaran. ‘Iffah melepaskan keluhan berat seakan-akan kurang berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Mardhiyah. Lantas dia bangun membeli segelas minuman memandangkan tengah hari ini cuaca agak panas. Ditambah pula orang semakin ramai di kafetaria. Takut pula berebut dengan pelanggan yang semakin mara ke kafetaria.

Setelah membeli segelas minuman dan sedikit kuih sebagai alas perut, ‘Iffah kebali ke meja tadi sambil menatang dulang dan duduk dengan sopan di sebelah Zinnirah. Meja yang menempatkan empat kerusi itu kelihatan sarat dengan buku mereka bertiga.

“Ana bukan nak masuk campur urusan peribadi enti, tapi sebagai sahabat, ana rasa ana patut tahu. Betulkah apa yang ana dengar dari mulut orang selama ini?” ‘Iffah mula mengajukan persoalan setelah mengambil beberapa tegukan air sirap limau yang dibelinya tadi. Mardhiyah melepaskan keluhan besar.

‘Memang sah satu kolej tahu, patutlah ada yang mencebikkan muka bila jumpa Zie’ keluh hati Mardhiyah. Zinnirah cuba mengukir senyuman walaupun tidak terpancar keikhlasan.

“Enti percaya?”tanya Zinnirah kepada ‘Iffah. Dengan pantas, ‘Iffah menggeleng. Mana mungkin dia percayakan berita yang tidak tahu asal-usulnya dan kesahihannya. “Alhamdulillah. Semoga ALLAH menggolongkan enti dalam kalangan orang yang benar dan bersabar. ((Innallaha ma’as sobirin)).”

“Rupanya banyak lagi yang ana tak tahu pasal enti ya? Walaupun dah kenal hampir empat tahun, tapi banyak rahsia enti ana tak tahu.” Zinnirah tersenyum kepada Iffah. ‘Disebalik senyuman yang manis ni seolah-olah terselit satu penderitaan yang amat berat. Ya ALLAH, tabahkan hati sahabatku’ bicara hati ‘Iffah.

“Rahsia, tak boleh dikongsi dengan semua orang. Hanya orang tertentu dan yang boleh dipercayai sahaja yang boleh tahu,” kata Mardhiyah.

“Maksud enti, enti tak percaya kat ana?” soal Iffah.

“Bukan macam tu. Hmm, nantilah suatu hari kita ungkap kembali apa masalah ana. Lepas ni ana dan Mardhiyah ada kelas. Eh, jom pergi nanti terlewat,” kata Zinnirah menamatkan perbualan mereka.

* * *

“Baiklah, pelajar-pelajar sekalian. Memandangkan hari dah senja, cikgu nak setiap kumpulan yang besar hantar tiga orang wakil, seorang lelaki dan dua orang perempuan untuk pergi kutip kayu api untuk hidupkan unggun api malam ni. Kalau tidak, bergelaplah kamu malam ni,” arah Cikgu Marina kepada semua pelajar tingkatan empat yang menyertai Kem Bina Jati Diri.

Semua pelajar dibahagikan empat kumpulan besar iaitu A, B, C dan D. Kumpulan besar merupakan pembahagian tapak perkhemahan, dan setiap kumpulan besar mempunyai tiga kumpulan kecil, dua kumpulan perempuan dan satu kumpulan lelaki, kecuali kumpulan D, dua kumpulan pelajar lelaki dan satu kumpulan pelajar perempuan, yang dianggotai oleh lima hingga tujuh orang setiap kumpulan. Ini bermakna, setiap kumpulan perlu menghantar seorang wakil. Setelah semua sepakat, Muhammad Asadullah, Zinnirah dan Ainun Sakinah dipilih untuk mewakili kumpulan A.

“Zie, aku sakit perut la, nak buang air besar. Tak tahan dah ni,” adu Ainun Sakinah kepada Zinnirah.

“Kau pergi la, tapi jangan lama sangat.” Secepat mungkin Ainun Sakinah bergegas ke tandas,

“Eh, ke mana pula sahabiah kita tadi?” tanya Muhammad Asadullah kepada Zinnirah.

“Ke tandas, perut meragam. Kita tunggu la dia sekejap” Setelah 20 minit menunggu, masih juga tidak kelihatan kehadiran Ainun Sakinah.

“Lamanya sahabiah enti ni buang air? Tak lama lagi matahari dah nak terbenam.”

“Nanti sekejap, ana pergi tengok.” Sepantas mungkin, Zinnirah menuju ke tandas. Hanya sebuah tandas sahaja yang digunakan, mungkin Ainun Sakinah di dalamnya. “Ainun, lambat lagi ke?” tanya Zinnirah.

“Aku sembelit la. Kau pergi la dengan Asadullah cari kayu. Aku tak tahu lagi berapa lama kena tunggu ni.” Zinnirah terkejut dengan idea yang diberi oleh Ainun Sakinah. Mana mungkin bagi Zinnirah untuk pergi berduaan dengan lelaki mencari kayu. Dia kembali ke tapak perkhemahan untuk mencari sahabiah yang lain, tetapi semuanya tiada di situ, mungkin pergi mandi.

‘Macam mana ni? 40 minit lagi dah nak Maghrib? Ya ALLAH, aku bertawakkal kepadaMU ya ALLAH, jangan kau datangkan fitnah dunia dan akhirat kepada kami’ bisik hati Zinnirah sambil melangkah ke arah Muhammad Asadullah yang sudah kebosanan menunggu.

“Ha, macam mana? Hari dah makin gelap ni,” tanya Muhammad Asadullah.

“Ainun belum selesai qadha hajat. Sahabiah lain tiada kat tapak perkhemahan. Ana rasa enta je la pergi,” kata Zinnirah cuba mengelak daripada berduaan dengan Muhammad Asadullah. Sedangkan dia selalu berinteraksi dengan Muhammad Asadullah dalam jarak 2 meter, jangan pula di harap dia akan pergi tanpa sahabiah menemaninya.

“Eh, senang enti cakap. Kita ni pegang amanah orang, mana boleh letak tepi macam tu saja. Nanti orang dah tak percayakan kita lagi,” dalih Muhammad Asadullah. Sebenarnya dia teringin sangat untuk berduaan dengan Zinnirah, gadis idamannya sejak dulu. Namun terlalu susah mendekati gadis pemalu ini. Ingin sekali dia meluah perasaan yang terbuku sekian lama kepada Zinnirah.

‘Ya ALLAH, kenapalah dia ni tak faham adab di dalam Islam? Ya ALLAH, aku betul-betul berlindung denganMU, aku bertawakkal kepadaMU. Jauhkan aku dari fitnah, ya ALLAH’ doa Zinnirah di dalam hati.

“Em, baiklah. Enta jalanlah dulu, ana ikut dari belakang.”

“Er, enti la jalan dulu. Nanti ada apa-apa kat belakang ni, bahaya,” Muhammad Assadullah cuba berdalih lagi. Dia sudah termakan bisikin syaitan yang penuh kejahatan.

Zinnirah sudah tidak berdaya lagi untuk bertekak dengan Muhammad Asadullah. Dia memulakan perjalanan. Suasana hutan yang sunyi dan hanya kedengaran bunyi cengkerik itu menambahkan debaran dan kebimbangan dihatinya. Hari semakin gelap. Cahaya matahari amat sukar menembusi kanopi pohon-pohon di hutan. Keadaan yang agak kurang cahaya menyebabkan perjalanan agak sukar bagi Zinnirah.

Bisikan kejahatan mula merasuk fikiran Muhammad Asadullah. Walaupun tangannya cekap mengutip ranting-ranting kayu untuk di buat kayu api, tetapi fikirannya mula merancang perbuatan jahat terhadap Zinnirah. Semakin lama, semakin jauh dia membawa Zinnirah ke tengah hutan.

“Er, ana rasa dah cukup kayu yang kita kutip ni. Lagipun kita dah jauh ni. Hari pun dah gelap.” Tanpa menunggu respon dari Muhammad Asadullah, dia berpusing ke belakang untuk kembali ke tapak perkhemahan.

Tiba-tiba lengannya dipegang oleh Muhammad Asadullah. Hatinya mula kurang enak, seolah-olah sesuatu yang ngeri akan berlaku. Jantungnya berdegup kencang. ‘Ya ALLAH, bantulah hamba-M yang lemah ini’. Kemudian badannya dipeluk oleh Muhammad Asadullah. Zinnirah cuba menjerit meminta tolong tetapi mulutnya pantas ditekup oleh Muhammad Asadullah. Hanya nama ALLAH yang keluar dari hatinya.

Zinnirah diseret ke sebelah pohon rendang. Mulut dan tangannya diikat oleh Muhammad Asadullah. Zinnirah hairan, dari mana pula Muhammad Asadullah dapat kain-kain ini? Apa yang dia ingin buat padaku? Adakah dia sudah lama merancangkan perkara ini?

Kemudian Zinnirah dibaringkan. Dia melihat Muhammad Asadullah bukan seperti biasa, tetapi seperti dirasuk sesuatu. ‘Ya ALLAH, lupakah dia pada azab-MU? Di mana Imannya pada ketika ini? Di mana tarbiah yang diterimanya selama ini? Di mana kewibawaannya sebagai seorang penggerak dakwah selama ini?’ hanya ini yang terbit di hati Zinnirah. Dia tidak berdaya melawan seorang lelaki segagah Muhammad Asadullah. Air matanya merembes tanpa henti. Dia cuba melawan tetapi gagal.

Muhammad Asadullah meneruskan niatnya tanpa memikirkan ALLAH. Dia sudah lupa akan ALLAH dan azab-NYA yang pedih. Sudah lama dia memendamkan nafsu syahwatnya terhadap Zinnirah dan dia tidak dapat menahannya lagi. Dia mahu melepaskannya petang ini juga.

“Kamu berdua ke mana? Risau cikgu, orang lain semua dah balik dari kutip kayu. Tapi kamu tak balik-balik lagi.”

“Maaf cikgu, kami sesat tadi. Terlalu leka cari kayu, tak sedar dah masuk jauh ke dalam hutan. Alhamdulillah, sampai juga akhirnya,” kata Muhammad Asadullah sambil menjeling ke arah Zinnirah. Zinnirah hanya membisu. Dia hanya tersenyum tawar kepada Puan Marina.

“Dah, orang lain dah mula solat Maghrib berjemaah. Nasib baik kamu dah pulang. Pergi solat cepat.”

“Baik cikgu!” kata mereka serentak. Zinnirah bergegas menuju ke tapak perkhemahan tanpa mengendahkan Muhammad Asadullah.

“Zie, ana minta maaf!” kata Muhammad Asadullah sambil cuba mengejar Zinnirah. Namun Zinnirah tidak mengendahkan Muhammad Asadullah. Apa yang dia tahu, dia perlu mandi wajib! ‘Laju betul dia berjalan!’getus hati Muhammad Asadullah.

Sesi LDK malam itu berjalan seperti biasa. Cuma kali ini LDK diadakan dalam kumpulan besar. Muhammad Asadullah tidak henti-henti memerhatikan Zinnirah.

‘Hebat betul peribadinya. Setelah apa yang aku lakukan padanya tidak menyebabkan dia murung seperti perempuan lain. Dia dapat memisahkan antara masalah peribadi dari kehidupan yang dilalui. Dia dapat rahsiakan masalahnya daripada pengetahuan rakan-rakan,’ puji hati Muhammad Asadullah terhadap Zinnirah.

Peristiwa petang tadi tidak menjejaskan prestasi Zinnirah yang aktif mengutarakan pendapat dan kritikan yang kritis. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Malah semakin meningkat prestasinya. Sifat kepimpinan semakin nyata. Hanya satu impiannya, tertindas bukan bermakna lemah.

* * *

“Mesyuarat tergempar ini bukan sengaja ana aturkan tanpa sebab, tapi dengan satu tujuan. Mencari kebenaran, menghapuskan kebatilan,” terang Presiden Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), Muhammad Naqib Aqram kepada semua ahli jawatankuasa PMI.

Wajah tenang Zinnirah tersenyum. ‘Memang seperti jangkaanku, pasti isu aku yang akan dibangkitkan oleh akhi Naqib. Tapi tak sangka pula sampai mesyuarat tergempar jadinya,’ bicara hati Zinnirah.

“Ingin ana tekankan bahawa kita perlu menjaga maruah diri. Ini kerana ia membabitkan maruah agama, bangsa, malah juga negara. Tambahan pula kita memegang jawatan dalam PMI yang menjadi organisasi induk di Universiti Teknokrat Islam Malaysia (UTIM) .” Suasana sunyi seketika. Zinnirah dapat merasakan dirinya menjadi perhatian semua memandangkan meja di dalam bilik emsyuarat itu disusun membentuk huruf U . Pengerusi berada di antara baris perwakilan lelaki dan baris perwakilan perempuan.

“Maaf kerana ana ingin mencelah, tuan pengerusi,” lantang suara Mardhiyah kedengaran.

“Silakan,” kata Muhammad Naqib Aqram dengan penuh hormat.

“Ana faham maksud tuan pengerusi yang mahu menyelesaikan masalah ahli jawatankuasa PMI, tapi ana rasa adalah lebih molek kiranya tuan pengerusi menyelesaikannya secara sembunyi iaitu bertemu dengannya tanpa melibatkan semua ahli.”

“Ana tidak setuju dengan cadangan enti. Kita ahli jawatankuasa bagaikan sebuah keluarga. Susah senang ditanggung bersama. Saling membantu dan menutup apa yang kurang. Juga bersama-sama menyelesaikan masalah,” Timbalan Pengerusi I, Syamsul Munawwir bangun membantah cadangan Mardhiyah.

“Ana setuju dengan pendapat Syam. Tidak perlu ana panjangkan bicara memandangkan semua maklum akan masalah ini. Dan ingin sekali ana mendengar penjelasan daripada yang berkenaan.”

Zinnirah dengan tenang bangun mencuri tumpuan semua. Mardhiyah menggenggam tangannya memberi semangat.

“Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Segala pujian dikembalikan kepada ALLAH atas nikmat iman dan Islam juga nikmat hidayah serta inayah kepada kita semua. Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah s.a.w , ahli keluarganya, para sahabat dan para pengikut seluruhnya. Alhamdulillah kerana ana masih lagi diberi kesempatan untuk menegakkan yang haq dan menjatuhkan kebatilan di bumi ALLAH ini.

Ingin sekali ana pohon kita semua memperbaharui syahadah kita pada saat ini dan beristighfar 7 kali.” Suasana sunyi seketika. Semuanya tertunduk dan bibir-bibir bergerak melafazkan syahadatain dan istighfar.

“Ana harap dengan istighfar tadi dapat membersihkan hati kita supaya ALLAH memberikan hidayah kepada kita ke arah kebenaran. Apa yang ana bakal katakan sebentar lagi harap sahabat dan sahabiah perwakilan PMI yang ada anggap bagai adik-beradik sendiri, dapat menilai dengan mata iman, bukan mata hati ataupun mata nafsu.” Suasana hening seketika. Zinnirah melihat muka-muka ahli jawatankuasa PMI satu persatu.

“Fitnah bukan senang nak ditangani, apatah lagi kebenaran hampir sama dengan fitnah pada mata kasar.” Hati Zinnirah sebak untuk mengungkai pengalaman pahit yang cuba untuk dirahsiakan daripada semua orang, namun digagahi jua demi kebenaran.

“Ana rasa semua mengetahui ana mempunyai dua orang anak yang masing-masing berumur 5 tahun dan 3 tahun. Sudah pasti ada keraguan bagaimana ana boleh ada anak yang berumur 5 tahun sedangkan usia perkahwinan ana dengan zauj ana baru mencecah 4 tahun. Memang ana mengatakan dia adalah anak angkat ana. Namun ada yang sangsi kerana muka ana dan anak sulung ana jelas seiras.” Muqaddimah yang menarik perhatian semua ahli mesyuarat sehinggakan bunyi langau terbang pun boleh kedengaran.

“Dan ana sudah lama dihujani fitnah mengatakan anak ana yang sulung, Fuadul Qudus itu anak haram. Bukanlah maksud ana untuk mengiyakan tohmahan itu, tapi kebenarannya dia bukan hasil ikatan yang suci.” Suasana tiba-tiba jadi hangat sehinggakan Muhammad Naqib Aqram terpaksa mengawal suasana.

“Namun ingin ana tekankan di sini, kejadian ini bukan kehendak ana. Apalah kekuatan ana untuk melawan kudrat seorang lelaki yang dirasuk syaitan.”

“Jadi, maksud enti, enti dirogol? Siapa yang melakukan perbuatan terkutuk itu?” tanya Abu Ma’bad Abdullah, setiausaha PMI dengan suara yang tegas, seolah-olah melaknat perogol itu.

“Mungkin kalau ana nyatakan di sini, antum semua akan menafikan kerana hampir kesemua perwakilan terutama muslimin mengenalinya. Malah amat menghormati akan ketokohannya dalam pergerakan Islam. Namun ana ingin tekankan bahawa setiap manusia di uji, dan mungkin dia tewas dengan ujian hati pada saat itu. Tetapi sekali jatuh bukan bermakna jatuh buat selamanya. Nilailah manusia dengan apa yang ada pada dirinya pada hari ini, bukan masa lalu. Kerana itu lebih membawa ketenangan.”

“Usahlah enti panjangkan bicara, beritahu kami ya ukhti,” celah Abdul Muhaimin, bendahari PMI tidak sabar mengetahui kebenaran.

“Muhammad Asadullah Bin Haji Marwan.” Zinnirah mengetapkan bibir. Ingin sekali dia merahsiakan nama itu agar tidak dimalukan di hadapan orang luar. Namun kebenaran perlu ditegakkan. Nyata semua menggelengkan kepala tidak mempercayai kenyataan itu. Lemah seluruh badan Zinnirah. Tidak semena-mena dia terjatuh. Kepalanya berdenyut. Hanya suara Mardhiyah kedengaran. Dunianya gelap zulumat.

* * *

‘Apa dah jadi ni? Sudah empat bulan haidh aku tidak kunjung tiba. Adakah aku... isy, tak mungkin kerana aku baru sahaja tamat haidh pada hari itu. Mana mungkin dari logik sains. Akan tetapi kuasa ALLAH tiada tandingan. ((Apabila Dia mengkehendaki sesuatu, cukuplah dengan Dia mengatakan “Jadilah”, maka jadilah)).

Apa aku nak buat ni? Ya ALLAH tunjukilah hamba-MU yang lemah ini. Betapa berat ujian yang ENGKAU timpakan ke atas aku. Tapi aku percaya, ((ALLAH tidak membebankan seseorang dengan ujian kecuali mengikut kemampuannya olehnya)). Bantulah hambaMU ini ya ALLAH,’ monolog hati Zinnirah pada suatu pagi.

Hari ini hari minggu. Suasana pagi di asrama, kebanyakan pelajar menarik selimut kembali setelah mengerjakan solat subuh berjemaah di masjid. Hanya beberapa orang yang istiqamah beri’tikaf di masjid menunggu waktu Dhuha sebelum pergi ke padang untuk beriadah dan bersarapan di dewan makan asrama. Dia keseorangan di bahagian muslimat di masjid itu. Biasanya Mardhiyah dan Hurul Ain ada bersamanya. Namun mereka berdua datang bulan. Kakak-kakak Badan Dakwah dan Rohani pula ada mesyuarat.

Entah kenapa pagi itu hati Zinnirah terdetik untuk menghubungi kakaknya, Zuraida yang bertugas di Hospital Nur Zahirah di Kuala Terengganu sebagai doktor. Usai sahaja solat sunat Dhuha, dia bergegas ke asrama untuk menelefon kakaknya. Baru sahaja hendak menapak ke arah asrama puteri, dia terserempak dengan Muhammad Asadullah yang baru menuruni tangga masjid. Ternampak senyuman dari wajah jejaka itu. Pantas Zinnirah menundukkan kepala dan meneruskan langkahnya tanpa mengendahkan Muhammad Asadullah.

‘Dia masih marahkan akukah?’ tanya Muhammad Asadullah di dalam hati. Namun tiada jawapan yang dapat disimpulkannya.

“Kak Zu, Kak Zu kerja ke hari ni?” tanya Zinnirah apabila panggilannya diangkat oleh Zuraida.

“Tak. Kenapa?”

“Abang Iz?”

“Dia oncall. Kak Zu duk sorang je kat rumah ni!”

“Saya nak pergi rumah Kak Zu boleh?”

“Silalah. Ni ada apa-apa ke? Sebab selalunya tak ada la pula nak datang rumah.”

“Saja sebab bosan duk kat sekolah ni.”

Perjalanan yang memakan masa 30 minit itu agak bosan baginya kerana Zinnirah keseorangan. Sengaja dia keluar bersendirian walaupun rakan-rakannya ingin menemani. Ada perkara yang perlu diselesaikan secara rahsia.

Loceng rumah ditekan. Zinnirah menanti di luar pagar kerana ternampak mangga tergantung di pintu pagar. Senyuman Zuraida menyambut kedatangan adiknya. ‘Mesti ada sesuatu yang tak kena. Muka macam terberanak kucing je ni,’ bisik hati Zuraida yang menanti di muka pintu.

“Masuklah. Pintu pagar tu Kak Zu tak kunci pun.” Zinnirah membuka pintu pagar lantas melangkah masuk ke dalam halaman rumah dan menyalami Zuraida. “Cuba cakap betul-betul kat Kak Zu, ada apa sebenarnya kamu datang ni? Dah la seorang diri. Kalau mama tahu, dah lama kena marah ni,” Zuraida cuba bertanya selepas duduk di sofa di ruang tamu. Sambil itu, dia menuangkan air limau suam yang sudah disediakan sebaik sahaja di mendapat tahu bahawa Zinnirah berhajat untuk datang ke rumahnya.

“Erm, berat Zie nak bagi tau Kak Zu, tapi terpaksa juga bagitahu.” Suasana hening seketika. Hanya bunyi pembaca berita sedang membaca berita di televisyen memenuhi ruang tamu rumah itu. “Zie...kena rogol kak.” Mulut Zuraida terlongo seketika.

“Kamu dah jumpa doktor belum?” Zinnirah menggelengkkan kepala. “Bila kena?”

“Bulan Mac baru ni.”

“Sekarang bulan Ogos. Dah lima bulan?” Zinnirah menganggukkan kepala.

“Saya risau sebab haidh saya tak datang. Apa nak buat ni Kak Zu?”

Tanpa berfikir panjang Zuraida menuju ke kamar peraduannya memakai jubah dan tudung labuhnya serta mencapai anak kunci kereta dan tas tangan.

“Jom ikut Kak Zu,” katanya sambil memakai sarung kaki dan sarung lengan, lantas menuju keluar rumah.

“Nak ke mana?”

“Hospital!”

* * *

Zinnirah masih merasakan kepalanya berdenyut. Sekelilingnya kelihatan seperti suasana hospital. Baru dia teringat yang dia pitam tadi. Panahan lampu pendaflour masih perit bagi matanya.

“Ha, dah sedar pun,” kata Mardhiyah yang duduk di kerusi di tepi katil sambil tersenyum. “Tahniah!” Sebuah ucapan terpancul dari mulut Mardhiyah.

“Untuk apa?” tanya Zinnirah sambil memandang Mardhiyah penuh hairan.

“Enti hamil tiga bulan. Enti tak tahu ke?” Zinnirah menggelengkan kepala. “Tekanan darah enti rendah tadi. Enti ni terlalu banyak berfikir sampai abaikan kesihatan. Usah fikir masalah tu lagi. Kalau ada kerja pun, biar ana tolong. Enti kena jaga kesihatan tu.”

“Ana hamil? Subhanallah, ana sebenarnya dah rancang kehamilan. Memang peratusan untuk hamil itu amat rendah. Tapi kuasa ALLAH mengatasi.” Suasana sunyi seketika. Kami berdua masing-masing bertasbih memuji kebesaran ALLAH.

“Nanti sebentar lagi Kak Ina dan Abang Iman akan datang ambil enti. Esok hari minggu, jadi ana rasa lebih baik enti pulang rumah mereka dan berehat dulu. Lagipun dah lama enti tak jenguk Fuad dan Faris.”

Kata-kata Mardhiyah sememangnya benar kerana sudah hampir sebulan dia tidak pulang ke rumah abangnya, Imanulhaq menjenguk anak-anaknya yang ditumpangkan di situ. Zinnirah amat bersyukur kerana kakak iparnya, Nur Adlina menawarkan diri dengan rela hati untuk membantunya menjaga-anak-anaknya yang kecil. Tambahan pula rumah mereka dengan UTIM tidak jauh, hanya mengambil masa perjalanan 30 minit untuk sampai.

Zinnirah tidak dapat bayangkan apa yang akan jadi andai Nur Adlina tidak menawarkan diri pada ketika itu. Sudah pasti akan menyusahkan mamanya, Hajjah Maryam yang umur sudah sampai di ambang sore. Cukuplah dia menyusahkan hati mama selama ini.

Zinnirah memegang perutnya, anak dalam kandungannya itu anak ketiga baginya, dan anak kedua hasil perhubungan yang suci. Apa khabar suaminya di Jepun? Sudah lama mereka tidak berhubung memandangkan dia agak sibuk dengan tugasan sebagai pelajar bidang perubatan dan juga jawatan yang dipegangnya di dalam PMI, iaitu sebagai Timbalan Pengerusi II. Hanya tiga bulan lepas suaminya pulang, itupun hanya satu minggu sahaja. Namun dia bersyukur, sekurang-kurangnya ALLAH memberikan kelapangan kepada suaminya untuk pulang walaupun selepas Universiti Tokyo dibuka.

Pada mulanya dia menyangka suaminya tidak pulang memandangkan terlalu banyak tugasan sewaktu cuti musim panas. Alhamdulillah, ALLAH mempermudahkan tugasannya di sana.

‘Bagaimana aku hendak fahamkan semua sahabat dan sahabiah di UTIM agar kepercayaan mereka kepadaku kembali seperti biasa? Ya ALLAH, tunjuki aku jalan penyelesaiannya’, monolog Zinnirah.

* * *

Sebuah kereta berhenti di hadapan rumah. Zinnirah cepat-cepat masuk ke bahagian dapur. Mungkin orang yang mahu melawat kakaknya, Zuraida yang baru sahaja melahirkan anak.

Takdir ALLAH, Zinnirah melahirkan anaknya lebih awal empat minggu dari tarikh jangkaan. Sedangkan Zuraida yang sepatutnya melahirkan anaknya lebih awal daripada Zinnirah, terlewat seminggu. Kesimpulannya, mereka melahirkan anak selang sehari sahaja. Zinnirah terlebih dahulu dikejarkan ke hospital. Ketika sedang melawat anak saudaranya, Zuraida pula yang sakit perut hendak bersalin.

Apabila diingat, ingin sahaja Zinnirah ketawa. Amat lucu kisah mereka. Namun apabila melihat anaknya tidak berayah, hatinya sebak untuk menatap muka bayi lelaki yang comel itu. Dia amat berterima kasih kepada abang iparnya, Izzuddin kerana sudi mendaftarkan bayinya di Jabatan Pendaftaran Negara. Siapa yang tahan untuk bersoal jawab dengan pegawai di sana untuk mendaftarkan anak tidak berayah ini.

Fuadul Quds Bin Abdullah, itulah nama anak Zinnirah yang baru lahir itu. Terasa begitu hina dirinya berbanding kakaknya yang mempunyai bayi yang bernama Muhammad Azran Bin Izzuddin.

Walaupun masih dalam pantang, tangan Zinnirah cekap membuat air di dapur. Sudah beberapa kali ditegur oleh Hajjah Maryam supaya berehat sahaja. Namun hatinya tidak enak untuk berehat sahaja sedangkan mamanya sibuk melayan tetamu. Lagipun hari-hari yang dilalui amat sepi. Pada waktu tengah hari sebegini adik-adiknya menghadiri kelas tambahan cuti sekolah berbayar di luar. Pada mulanya, dia juga ingin turut serta, tetapi terpaksa dibatalkan niat memandangkan dia masih dalam pantang.

Hanya pada waktu malam dia rasa tidak sunyi dan bosan kerana adiknya, Zarina sentiasa menjadi temannya. Biasanya pada waktu siang dia ‘bersembunyi’ di dalam bilik kerana ingin merahsiakan apa yang berlaku.

“Zie, mari keluar.” Ajak Hajjah Maryam yang tiba-tiba muncul dari ruang tamu. Muka Zinnirah yang pucat itu menunjukkan reaksi terkejut. Tidak pernah mama mengajaknya keluar kalau ada tetamu, seakan-akan mamanya faham apa yang dilaluinya. Namun, kenapa kali ini tidak?

Zinnirah menyarung jubah dan jilbab labuhnya yang diletak di bilik sebelah dapur. Dengan perlahan dia menapak keluar. Ternampak muka seorang perempuan berpurdah memandang kearahnya. Bersamanya seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 60-an dan... Muhammad Asadullah?

“Ini ke Zinnirah?” Zinnirah mengangguk lantas menyalami perempuan berpurdah itu. Zinnirah sedikit panik apabila perempuan tersebut memeluknya dengan erat sekali, bagaikan bakal ada satu rabitah antara mereka. “ Mak cik ni ibu Assadullah. Panggil Cik Ma, ya?”

Memandangkan Haji Nasrullah tiada dirumah menghadiri satu majlis ilmu di luar dan Izzuddin berada di Terengganu, Cik Ma atau Hajjah Masyitah menanggalkan purdahnya. Sejuk hati sesiapa yang memandang muka Hajjah Masyitah. Hajjah Maryam datang ke arah Muhammad Asadullah sambil mendukung Fuadul Quds lantas memberinya kepada Muhammad Asadullah. Muka Muhammad Asadullah kelihatan begitu tertekan pada saat itu.

“Ana rasa ana inginkan privacy sebentar antara kaum hawa. Marilah kita ke dapur,” ajak Hajjah Masyitah. Agak lama Zinnirah memandang ke arah Muhammad Asadullah yang mendukung anaknya, Fuadul Quds sehinggalah Zuraida terpaksa menarik tangan Zinnirah supaya turut ke dapur.

“Maaf kalau kedatangan kami ini mengejutkan Zinnirah.” Tutur Hajjah Masyitah memecah keheningan pagi.

“Panggil Zie saja,” pintas Zuraida. Zinnirah mengukir senyuman menandakan dia redha dengan apa yang dihadapi sekarang.

“Pertama-tamanya, Cik Ma minta maaf banyak-banyak atas perlakuan Asadullah terhadap Zie. Cik Ma dan Pak Wan betul-betul tak tahu. Kalau Zie, Zu dan Kak Yam menanggung malu yang besar, lagi besar malu yang kami tanggung. Kerana puncanya dari anak kami. Anak lelaki sulung kami. Datang sini pun sebab Zu jemput. Sampai rasa tebal muka kami untuk bertemu dengan antum. Tapi memandangkan kes ini perlu diselesaikan segera, kami gagahi diri datang ke sini.”

Begitu mendalam kata-kata yang dituturkan oleh Hajjah Masyitah. Dia sendiri terkejut menerima berita ini daripada Zuraida yang menelefonnya semalam. Suasana sunyi seketika. Kadang-kadang terdengar kokokan ayam dan pinggan berlaga dengan cawan sewaktu Hajjah Mayitah ingin mencicip air teh.

“Cik Ma rasa nak pukul-pukul saja Asadullah, tapi dia dah besar. Jadi pukulan bukan penyelesaian. Cik Ma tanya dia, kenapa dia buat macam ni. Katanya tak dapat tahan. Sejak dari tingkatan satu memendam perasaan. Bagi surat pun Zie tak layan, katanya. Bila ada peluang ni, dia termakan hasutan syaitan. Memang Cik Ma tak sangka selemah itu imannya.”

“Cik Ma, tipulah kalau dikatakan Zie tak marah langsung kat Asadullah. Tapi Zie yakin, ada hikmah ALLAH tetapkan perjalanan hidup Zie macam ni. Dan Zie tengok Asadullah betul-betul menyesal dengan apa yang dia dah buat pada Zie. Zie yakin.” Zinnirah mula berbicara setelah lama berdiam diri. “Wanita mana yang suka dia ‘ditebuk’ oleh lelaki yang belum halal baginya. Hanya betina yang sanggup melakukan perbuatan keji itu.”

“Jadi, setelah Cik Ma berbincang dengan Asadullah, Pak Wan, mama dan baba Zie dan juga Kak Zu, kami sepakat untuk menghalalkan hubungan kamu berdua.” Serta-merta muka Zinnirah berubah. Tidak semena-mena dia bangun meninggalkan Hajjah Masyitah, Zuraida dan Hajjah Maryam menuju ke arah bilik di sebelah dapur.

“Kata orang, diam tandanya setuju Cik Ma,” kata Zuraida.

“Selagi belum pasti, jangan buat keputusan. Bukan awak yang nak kahwin. Biar mama pergi tengok Zie.” Zuraida tersengih. Mamanya amat teliti dalam hal sebegini agar tidak tersalah buat keputusan.

“Eh, mama!” Zinnirah terkejut sewaktu Hajjah Maryam melangkah masuk ke bilik.

“Kenapa tiba-tiba tinggalkan tetamu tanpa minta izin? Tak pernah mama ajar begitu,” tegur Hajjah Maryam dalam nada yang lembut. Mengajar anak perlu berhikmah, tidak mengenal usia.

“Maafkan Zie. Tapi Zie betul-betul terkejut.”

“Jadi, apa jawapan Zie?”

“Hendak Istikharah pun, tidak boleh solat. Jadi Zie serahkan pada mamalah, apa yang baik bagi mama, insyaALLAH baik bagi Zie.”

“Secara jujur, Zie setuju atau tidak? Mama tak nak ada penyesalan di hari kemudian.”

“Em, secara jujur?” Zinnirah senyap seketika sambil tersenyum. “Mungkin selama ini banyak surat yang Zie terima dari Asadullah yang membayangkan dirinya ingin mengkhitbah Zie untuk dijadikan teman hidup. Namun, bagi Zie terlalu awal untuk berfikir perkara ini. Kata orang, hingus pun belum kering lagi.

Bukan Zie tak suka dia, malah kadang-kadang pernah Zie berangan-angan dialah teman sekatil Zie. Tapi apa yang dilakukan pada Zie, amat menyakitkan hati, mama.”

“Jadi? Zie tak setuju?”

“Bila fikir balik, siapa yang nakkan Zie yang dah tak suci lagi ni mama. Jadi, Zie rasa, bisikan pada hati Zie ini bukan dorongan nafsu ataupun syaitan. Akan tetapi dorongan iman.”

“Kesimpulannya?”

“Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal,” tutur Zinnirah mematikan perbualan. Bibirnya mengukir sebuah senyuman, yang menunjukkan keikhlasannya dalam mengutarakan keputusan.

Hajjah Maryam menarik nafas lega, sambil bertahmid memuji ALLAH.

* * *

“Tolong aku, Zie! Aku merayu Zie! Tup!” Panggilan yang hanya mencecah empat saat itu meragut ketenangan Zinnirah yang sedang mengulang kaji. Jam menunjukkan 15 minit ke jam 12 malam. Apa yang berlaku?

Lalu Zinnirah mencapai jilbabnya lantas keluar dari biliknya setelah memaklumkan kepada teman sebiliknya. Dia menapak ke arah tangga dan menuju ke aras empat dari aras dua yang didudukinya. Pintu bilik menunjukkan D409. Lantas dia mengetuk bilik itu.

“Zie!” Lantas Zinnirah dipeluknya. Dia menangis teresak-esak.

“Apa yang dah jadi ni?” tanya Zinnirah sambil menapak ke dalam bilik. Namun tiada jawapan. “Tenang Ifa, Istighfar banyak-banyak. Ingat ALLAH, (( La takhof wala tahzan innallaha ma’ana)).”

Teman sebilik Latifah, Ummu Kalthum hanya mengangkat bahu apabila Zinnirah membuat isyarat menanyakan apa yang berlaku. Ummu Kalthum juga bingung apabila melihat Latifah teresak-esak menangis sewaktu balik ke bilik 10 minit yang lalu. Tiba-tiba pintu bilik di ketuk. Mardhiyah muncul apabila pintu dikuak. Sememangnya Zinnirah menghantar SMS mengajaknya datang ke situ semasa dalam perjalanan ke bilik Latifah tadi. Dia menapak mendekati Zinnirah dan Latifah.

“Zie, aku dah kotor Zie. Aku dah hilang maruah Zie. Aku berdosa Zie. Lebih teruk daripada kau.”

Zinnirah terpaku. ‘Adakah...? Astaghfirullah!’

“ALLAH nak balas perbuatan aku pada kau Zie. Aku buat macam-macam fitnah kat kau. Maafkan aku Zie, maafkan aku!”

“Enti rupanya yang mulakan? Enti tau tak hampir jatuh maruah Zinnirah. Ah! Bukan hampir lagi, memang dah jatuh!” marah Ummu Kalthum yang juga salah seorang ahli jawatankuasa PMI. Memang dia kurang rapat dengan Latifah walaupun tinggal sebilik. Tambahan pula Latifah sering pulang lewat ke bilik.

“Bertenang Kalthum. Jangan marah melulu. Nanti bertambah tekanan kat kepala Ifa ni,” pujuk Mardhiyah. Sememangnya sebagai seorang beriman tidak wajar untuk memarahi orang lain sebegitu walaupun orang itu melakukan kesalahan yang amat besar.

“Ifa, bertenang Ifa. Cuba cerita kat kami apa yang dah berlaku. Zie tak faham,” kata Zinnirah dengan lemah lembut sambil membawa Latifah duduk di atas katil.

“Ifa...Ifa terlanjur dengan kekasih Ifa. Ifa tak nak! Tapi dia paksa Ifa. Dia janji nak kahwin dengan Ifa kalau Ifa sanggup bagi apa yang dia mahu. Tapi, dah tiga minggu, dia menghilangkan diri. Dia tak layan panggilan Ifa. Bila Ifa cari dia kat kampus dia, dia kata banyak kerja, tak boleh jumpa. Dia ada juga ugut Ifa supaya tak bagi tahu keluarga dia.”

Mereka semua terdiam mendengar penjelasan Latifah, terkejut. Mardhiyah membeliakkan mata lantas menggeleng kepala beberapa kali. Dia mengambil kerusi belajar Latifah dan duduk di atasnya. ‘Lepas satu masalah, datang pula satu masalah. Astaghfirullahal ‘Azhim,’ keluh hati Mardhiyah.

“Petang tadi, Ifa jumpa dia kat shopping complex. Ifa tengok dia dengan perempuan lain. Ifa serbu la dia dan ‘betina’ tu. Rupanya perempuan tu tunang dia. Mak dia yang pilih. Sebab tu dia terpaksa lupakan Ifa. Tahun depan mereka dah nak kahwin.”

“Habis tu dia tak nak tanggung perbuatan dia kat Ifa?” tanya Zinnirah.

“Dia nafi keras-keras yang kami dah terlanjur. Dia kata Ifa tipu. Ifa dah tak tahu nak buat apa Zie!”

“Ifa dah jumpa doktor?” tanya Ummu Kalthum pula.

“Belum.”

“Kalau macam tu, jom! Lagi cepat kita pergi lagi bagus,” kata Mardhiyah.

“Nak buat apa?” tanya Latifah seolah-olah dia seorang yang dungu.

“Kita pergi hospital, biar doktor ‘bomohkan’ Ifa supaya tak berlaku seperti apa yang Zie tanggung,” jawab Zinnirah memujuk. Walaupun Latifah masih kebingungan dengan penjelasan itu, dia tetap mengikut apa yang disarankan oleh rakan-rakannya.

* * *

“Saya merayu, Puan. Tolonglah rahsiakan perkara ni demi masa depan adik saya. Dah takdir dia terima nasib macam ni. Bukan kehendak dia. Mungkin silapnya, dia tak laporkan perkara ini pada sesiapa. Malah dah terlambat untuk menghalang perkara ini berlaku. Saya sendiri pun baru tahu semalam,” kata Zuraida kepada Puan Asiah, pengetua sekolah tempat Zinnirah belajar.

Berkerut muka Puan Asiah memikirkan masalah ini. Bukan dia sahaja, malah Puan Hartina dan Ustaz Wan Mahmud juga pening memikirkan hal ini. Belum pernah berlaku perkara sebegini.

“Takkan puan nak berhentikan persekolahan adik saya? Memang masalah ini amat besar, tapi saya mohon jasa baik puan. Tiada siapa lagi yang boleh kami harapkan.”

“Memang saya sendiri pun, tak mahu perkara ini berlaku. Tapi ini semua kuasa ALLAH. Dan saya akui, susah untuk melepaskan seorang pelajar yang berpotensi seperti Zinnirah dari sekolah ini. Tapi, banyak perkara yang perlu ditimbangkan jika dia terus bersekolah di sini,” kata Puan Asiah setelah lama terdiam. Dia merenung wajah Zinnirah yang tertunduk itu seketika.

“Saya sendiri pun tak sangka perkara ini boleh berlaku. Yalah, mereka berdua ni pelajar dari sekolah agama. Sedangkan pelajar yang dari sekolah menengah biasa tiada pula buat hal macam ni,” komen Puan Hartina, warden Asrama Puteri. Mukanya jelas terpancar kekesalan.

“Inilah yang dinamakan ujian iman, cikgu. Bukan semua boleh tangani. Cikgu kena ingat, bukan semua pelajar aliran agama ini macam malaikat, tak ada nafsu. Tapi, kadang-kadang ana pun hairan juga. Setahu ana, pelajar lelaki ni pernah memegang jawatan di dalam badan dakwah di sekolah dulu? Betulkah, Zinnirah?” tanya Ustaz Wan Mahmud. Zinnirah menganggukkan kepala mengiyakan pertanyaan Ustaz Wan Mahmud.

“Mereka satu sekolah sejak dulu lagi. Sama-sama pegang jawatan kat sekolah dulu. Saya dengar, sejak dulu lagi budak ni minat kat Zinnirah. Tapi memang tak sangka pula sampai macam ni jadinya,” Zuraida menambah.

“Hem, apa yang saya lihat, prestasi Zinnirah kat sekolah ni amat memuaskan. Malah semakin meningkat. Saya rasa semakin sayang nak lepaskan dia,” kata Puan Asiah.

“Itulah, ana pun sayang juga nak lepas dia. Ada ketokohan untuk pegang kepimpinan Badan Dakwah dan Rohani sekolah ni,” tambah Ustaz Mahmud pula. Suasana sunyi seketika. Masing-masing mengerahkan aqal untuk berfikir mencari jalan penyelesaian.

“Cikgu, saya merayu cikgu. Tolonglah benarkan Zinnirah kekal belajar kat sini. InsyaALLAH cikgu, saya sanggup tolong dia sedaya yang mampu!” pujuk Mardhiyah bersungguh-sungguh.

“Saya pun cikgu. Walaupun saya sendiri pun turun naik prestasi dalam pelajaran, tapi saya tetap nak tolong dia cikgu, insyaALLAH!” rayu Safurah.

“Saya pun sama cikgu. InsyaALLAH kami akan jaga dia betul-betul,” tambah Wan Nafisah meyakinkan Puan Asiah. Zinnirah, Mardhiyah, Safurah dan Wan Nafisah merupakan teman sebilik. Setiap bilik menempatkan 4 orang pelajar.

“Baiklah, baiklah. Tak tahan saya dengar pujuk rayu kamu semua. Kamu Zinnirah, tak nak bela diri sendiri ke?” tanya Puan Asiah dalam nada bergurau.

“Er, saya...”

“Dah la, saya bergurau saja. Memandangkan kawan-kawan kamu ni dah berjanji, jadi saya nak kamu semua bersumpah dengan nama ALLAH yang kamu takkan bocorkan rahsia ini,” arah Puan Asiah.

“Wallahi, kami berjanji tidak akan membocorkan rahsia ini selagi ALLAH tidak membocorkannya,” kata mereka serentak sambil meletakkan tangan di atas tangan Puan Asiah sebagai isyarat angkat sumpah mereka.

“Ustaz dan cikgu pun sama, ya?”

“Wallahi, kami pun akan jaga rahsia ini sedaya upaya kami,” kata Puan Hartina dan Ustaz Mahmud serentak.

Zinnirah menarik nafas lega.

‘Segala puji bagimu ya ALLAH yang masih memberi masa depan yang terjamin bagi hamba-MU ini. Ya ALLAH, aku tahu KAU bebankan aku dengan ujian ini sebagai tarbiyah kepada hatiku yang muda ini. Aku bersyukur ya ALLAH kerana mendapat tarbiyah dariMU yang jarang KAU berikan kepada insan lain. Aku bersyukur kepadaMU kerana kau memilihku untuk menerima tarbiah dariMU

Ya ALLAH, aku pohon kesabaran dalam menghadapi dugaan ini. Aku pohon kasih sayangMu supaya memudahkan segala urusanku. Ya ALLAH, tiada kekuatan dan tiada kuasa yang dapat menandingi kekuatan dan kekuasaanMU ya ALLAH! Maka kuatkanlah hati hambaMU ini dalam meneruskan perjuangan menegakkan Dinul Islam dan kalimah Lailahaillallah di bumi ini!’ rintih hati Zinnirah di kala sepertiga malam.

* * *

“Alhamdulillah, semuanya dah selesai,” kata Muhammad Naqib Aqram.

“((inna ma’al ‘usri yusra)), alhamdulillah. Keadaan kembali normal,” tambah Syamsul Munawwir.

“Alhamdulillah, Allah tunjuk punca dari mana. Memang betullah pepatah orang tua, kusut dihujung, kembalilah ke pangkal,” sampuk Mardhiyah.

Kesemua ahli jawatankuasa PMI tersenyum lega kerana fitnah yang melingkari Zinnirah sudah dapat dihapuskan. Sebaik sahaja mengetahui Latifah yang menyebarkan fitnah itu, Muhammad Naqib Aqram segera membuat rapat umum dengan semua pelajar. Namun mereka tetap tidak membuat kenyataan yang Zinnirah dirogol. Hanya beberapa orang yang belum berpuas hati bertemu dengan Zinnirah sendiri untuk mendapatkan penjelasan.

* * *

To: asadullah_mujahid@yahoo.com

From: zinnirah_mujahidah@yahoo.com

Subject: Alhamdulillah x 1000

Assalamualaikum w.b.t.

Ke hadapan kekanda Asadullah yang adinda cintai kerana ALLAH. Ingin sekali adinda memohon seinfiniti kemaafan kerana telah lama ana tidak menghubungi kekanda lantaran kesibukan diri di sini.

Kekanda, buat pengetahuan kekanda baru-baru ini ana menghadapi satu konflik yang agak besar di UTIM iaitu fitnah. Fintah yang mengisahkan ana berzina sehingga melahirkan Fuadul Quds. Namun kebenaran tetap tertegak. Dengan kalimah ‘lailahaillallah’ ana mempertahankan maruah ana. Alhamdulillah, ALLAH menunjukkan jalan penyelesaiannya. Ana rasa tak perlulah ana sebut nama penyebar fitnah itu, kerana dia merupakan kekasih kekanda sewaktu tingkatan 4!

Di sini ana juga ingin khabarkan berita buruk mengenai Latifah. Agak malang nasibnya kerana dia telah menyerahkan maruah kepada seorang lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab atas kelakuannya. Namun ana rasa perkara ini banyak hikmahnya. Sekarang alhamdulillah dia kembali ke jalan yang benar, dan mungkin kekanda rasa tidak logik jika ana katakan ana merupakan sahabat karib dia sekarang!

((Inna ma’al ‘usri yusra))

Ingin sekali adinda khabarkan bahawa adinda sedang mengandungkan anak kekanda yang ke-3. Alhamdulillah! Tidak ana sangka-sangka kerana kita sudah merancangkannya. ((Innallaha ‘ala kulli syai-in qadir)).

Sekian dahulu warkah adinda kali ini. Bonda dan ayahanda adinda dan kekanda mengirim salam assalamualaikum dengan penuh kerinduan.

Wassalam

To : zinnirah_mujahidah@yahoo.com

From : asadullah_mujahid@yahoo.com

Subject : Re: Alhamdulillah x 1000

Waalaikumussalam w.b.t.

Kehadapan adinda yang kanda cintai kerana ALLAH dulu, kini dan selamanya.

Kekanda amat gembira menerima perkhabaran adinda mengenai anakanda yang ke-3, insyaALLAH. Apa khabar pula anakanda yang berdua lagi, Fuadul Quds dan Faris Saifullah? Dan apa khabar juga ibu mereka? Kanda harap semua sihat wal ‘afiat dalam rahmah ALLAH.

Sungguhpun adinda teruji di sana, alhamdulillah ALLAH menyelesaikannya. Namun kanda di sini turut diuji. Bukan satu malah dua. Dan mungkin banyak lagi ujian kecil yang melanda. Amat susah untuk kekanda jalankan gerakan dakwah di sini memandangkan negara Jepun tidak mempunyai ramai penganut Islam, namun alhamdulillah, hasil kuasa ALLAH yang memberikan kanda kudrat, telah dua orang yang memeluk Islam. Namun sedikit sebanyak kanda ditohmah dengan fitnah yang keji oleh musuh-musuh Islam yang dengki dengan gerakan dakwah yang kanda ketuai.

Bukan setakat itu, mereka juga ada menggunakan kuasa pihak pentadbir. Namun alhamdulillah pihak pentadbir tidak dapat mengesan gerakan kanda yang dijalankan secara rahsia dan waspada.

Ingin juga kanda nyatakan, terlalu banyak surat cinta yang kanda terima dari ‘peminat-peminat’ di sini. Mungkin sebab kebanyakan mereka tidak mengetahui bahawa kekanda sudah berumah tangga.

Walauapapun adinda, kita perlu meneruskan perjuangan Islam demi menegakkan panji-panji Islam dan mengembalikan maruah Islam yang tercemar.

Sampaikan salam sayang penuh kerinduan kepada keluarga di tanah air.

Wassalam

Epilog

“Kau tak risau ke nanti ada bunga lain Asadullah petik kat sana?” tanya Latifah kepada Zinnirah.

“Apa nak risau sangat, kalau dia betul-betul nak kahwin, kahwin je la. Kan ada tiga lagi kosong,” kata Zinnirah tenang sambil meneruskan kerjanya menyiapkan assignment.

“Amboi, sedap kau cakap. Hmm, kalau macam tu ada can la aku nak kahwin dengan Assadullah?”

“Kalau betul dia nak kat enti dah lama dia pinang enti ni, tinggalkan Zie. Tapi ana rasa dulu tu dia just main-main je dengan enti. Biasalah, orang baru putus cinta sebab buah hati dia buat dek je,” sampuk Mardhiyah.

“Aku main-main je la. Daripada kahwin dengan dia, baik kahwin dengan orang bujang.”.

“Dahlah, korang ni banyak pula bercakap. Ingat kita ni pelajar perubatan, tiada masa untuk bersuka-ria. Ifa pun, walaupun ambil perakaunan, kena buat betul-betul juga. Dan kita juga da’ie, setiap masa perlu fikir masalah ummah. Perlu mujahadah untuk memenuhkan dada dengan ilmu supaya kita kenal ALLAH. Kita belajar pun kerana ALLAH, semuanya kerana ALLAH,” marah Zinnirah dalam nada yang serius.

“Baiklah ustazah!” Jawab Mardhiyah dan Latifah. Akhirnya mereka semua ketawa.

Siapa sangka, peristiwa ngeri bagi Latifah membawa kepada persahabatannya dengan Zinnirah. Zinnirah banyak mengajarnya kembali kepada Islam yang sebenar. Menunjukkan jalan yang diredhai ALLAH. Dia bersyukur ALLAH masih sayangkan dia dan meletaknya di dalam perjuangan ISLAM. Memang betul, semuanya indah jika dibuat kerana ALLAH.

1 comment:

friendsterlogin said...

cerita kamu panjang sekali pertamanya bagus tapi kisahnya aku kurang mengerti, aku kurang bisa mengikuti alurnya,
smangat terus ya.....!!!!!


andy....