Friday, August 15, 2008

Kejayaan Mengiringi Pemergianmu

Senja mula melabuhkan tirainya di ufuk barat. Nur Aimi Nazihah duduk menempel di atas kerusi batu di sebelah ummi. Rindu Aimi padanya membuak-buak di dalam dada memandangkan sudah lama mereka tidak berjumpa. Aimi memerhati itik yang sedang berenang didalam kolam yang dipenuhi dengan bunga teratai.

“Mimi,” ummi memanggil. Aimi lantas berpaling ke arah ummi dan merenung matanya dalam-dalam. Sudah lama Aimi tidak menatap kejernihan matanya. “Belajar rajin-rajin tau. Janganlah bersedih atas perpisahan ini. Kita pasti akan bersama pada suatu masa nanti. Tabahkan hati, kentalkan iman dan kuatkan semangat untuk menghadapi liku-liku kehidupan,” nasihat ummi dengan panjang lebar. Kemudian ummi memeluknya dengan erat sekali. Satu pelukan yang amat dirindui. “Ingat harapan ummi untuk melihat Mimi berjaya dan menjadi wanita solehah,” tambah ummi.

“InsyaALLAH,” sambut Aimi sambil tertunduk. Dia merasakan matanya mula berkaca. Kemudian dia menutup mata buat seketika sambil menghayati setiap perkataan yang dilafazkan oleh ummi.

“Mimi...Mimi...” Aimi kembali membuka mata. Panahan lampu pendaflour menikam matanya. Dia terpisat-pisat dan bangun dari pembaringan. Rupanya dia hanya bermimpi. “Kenapa Mimi menangis masa tidur tadi?” soal Arina Nur‘aini, kakaknya yang kedua.


“Mimi mimpikan ummi. Mimpi yang sama seperti sebelumnya. Kenapa agaknya saya asyik mimpikan ummi?” Aimi menyoal Arina kembali.

“Entahlah dik. Kak Ina bukannya nujum Pak Belalang,” kata Arina dan disambut oleh ketawa adik mereka, Nur Asiah Nadhirah yang baru keluar dari bilik air. “Dah, pergi mandi. Nanti terlewat pula. Tak pasal-pasal ditinggalkan bas,” Arina mengingatkan.

* * *

“Ya Habibi Ya Qurratu Aini. Apa yang anti sedang buat?” tanya Aimi sambil menerkam belakang kembarnya, Nur Aini Nazihah.

“Ya ALLAH, terkejut Aini. Apalah Kak Mimi ni. Suka sangat buat Aini terkejut. Aini tengah buat kad untuk seseorang yang istimewa,” jawab kembarnya sambil tersenyum.

“Ini mesti kekasih, kan? Sejak bila Aini pandai berkasih-kasihan ni?” usik Aimi.

“Astaghfirullahal Azim, ke situ pula akak melencong. Nanti akak tahu suatu hari nanti. Sekarang ia masih rahsia,” jawabnya.

“Aimi.... Aimi...,” suatu suara memanggilnya. Aimi tidak mengendahkan panggilan itu. Tiba-tiba satu tepukan hinggap di pahanya.

“Hei, ya ALLAH. Aimi, ustazah tengah panggil awak tu,” kata Nafisah mengejutkannya.

“Kenapa ni, Aimi? Saya tengok awak asyik tersenyum seorang diri. Ada perkara lucu ke dalam buku teks awak?” tanya Ustazah Hamimah. Pertanyaan itu disambut dengan deraian ketawa rakan sekelasnya.

“Bukan, ustazah. Saya teringat peristiwa di rumah pagi tadi,” bohongnya. Tak mengapa. Bak kata orang tipu sunat.

“Lain kali, berikan perhatian. Awak tu kelas peperiksaan. Faham?”

Aimi mengangguk lesu. Dia tunduk sambil mengenangkan ummi yang telah meninggalkannya sejak dia berumur 12 tahun disebabkan kanser pangkal rahim yang merebak ke paru-paru. Aimi amat sedih kerana dia amat rapat dengan umminya.

Walau apapun, Aimi tetap bersyukur kerana hampir lima tahun ummi menderita disebabkan penyakit ini. Hatinya sayu setiap kali melihat ummi yang bagaikan mayat hidup. Namun, senyuman yang sentiasa terukir di bibir ummi memberi semangat kepada Aimi supaya meneruskan perjuangan sebagai hamba-Nya.

Ummi tidak pernah menyalahkan nasib. Setiap kali Aimi menyalahi takdir yang menimpa ke atas ummi, ummi akan berkata bahawa kita ini hamba-Nya yang terpilih untuk menjalani proses peningkatan iman. Itu bermakna kita semakin hampir kepada-Nya.

Setahun kemudian, Aimi sekali lagi menerima tamparan hebat apabila abi menyatakan hasrat untuk mencari teman hidup. Aimi memberikan tentangan hebat terhadap keputusan abi tetapi abi memekakkan telinga sahaja. Apalah sangat kudrat Aimi. Tambahan pula tiada sokongan daripada adik-beradiknya yang lain. Aimi merasakan dunia ini sudah qiamat tetapi nasib baik masih ada Aini dan Arina yang memberikan semangat untuk hidup.

Namun, lima bulan lalu jantungnya bagai disentap apabila Aini kembali ke Rahmatullah disebabkan demam panas. Aimi merasakan dunia ini kelam tanpa cahaya. Walaubagaimanapun, Arina telah dapat meneranginya kembali. Sekarang dialah yang mengambil alih tempat Aini dan ummi di dalam hati Aimi.

Walaupun abi tetap bersama mereka, tetapi Aimi dapat rasakan kasih abi terhadapnya berbeza daripada dahulu. Tambahan pula, mama, ibu tirinya telah melahirkan seorang bayi lelaki yang comel enam bulan sebelum peninggalan Aini. Namun Aimi tetap gembira memandangkan hanya abangnya, Muhammad Amin Nazri seorang sahaja lelaki dalam adik-beradiknya. Lagipun, Aimi diberi peluang untuk menyumbangkan idea ketika mencari nama adik tirinya itu. Nama yang dipilih ialah Muhammad Amir Nuruddin. Mungkin juga mama ingin mengambil hatinya. Aimi tetap menyayangi mama tetapi tidak setanding dengan kasihnya terhadap ummi.

Walaupun begitu, Aimi masih berkecil hati dengan sikap abi yang tidak memahami sanubarinya. Akhir tahun lepas, abi telah memarahinya kerana kesemua mata pelajaran hampir gagal. Padahal peperiksaan itu berlangsung sebulan selepas pemergian Aini. Arina cuba membela tetapi dihalang oleh Aimi kerana kejadian itu berpunca daripadanya sendiri. Disebabkan itu, Aimi dilarang menonton televisyen dan rutin hariannya banyak dibataskan sehingga menduduki PMR. Arina memberikan kata semangat agar Aimi tidak berkecil hati.

Ujian bulan Februari bermula hari ini. Aimi merasakan fikirannya kosong walaupun telah mengulang kaji semua mata pelajaran. Pagi tadi, Aimi juga solat sunat hajat agar diberikan ketenangan. Akan tetapi dia tetap gelisah kerana banyak soalan yang tidak dapat dijawab. Setelah beberapa hari, keputusan diumumkan. Aimi mendapat tempat terakhir di dalam kelas malah tempat kedua akhir dalam tingkatan. Ramai guru yang terkejut kerana selama ini dia sering mendapat tempat pertama dalam tingkatan.

* * *

“Abang rasa, Mimi perlu dihantar ke kampung dan belajar di sana. Mungkin sebab pengaruh bandar yang menyebabkan pencapaian dia merosot,” cadang abi pada suatu malam. Aimi yang hendak ke ruang tamu terhenti di sebalik dinding. Aimi menghendap abi dan mama yang berada di dapur dan kembali berselindung di sebalik dinding. Air jernih mula bergenang di kelopak mata.

“Saya rasa abang perlu bagi peluang kepada dia. Saya lihat dia tekun belajar. Mungkin emosinya masih terganggu. Lagipun abang tak ada pula nak hantar dia pergi tusyen. Harap dia belajar sendiri saja. Abang pun satu, asyik tengok kekurangan dia saja. Asyik marah dia. Tak pernah bagi semangat langsung.” Mama mula membantah cadangan abi.

“Tapi Arina tak begitu pun! Tak ada sebarang perubahan pun terhadap akademik. Malah makin meningkat. Lagipun dah lima bulan perkara itu berlalu.”

Aimi terduduk mengenangkan dia sering dibandingkan dengan Arina. Bukan dia membenci kakaknya tetapi dia merasakan dirinya bagai kayu reput yang dibandingkan dengan kayu jati.

“Abang bukannya tak tahu. Mereka bagai isi dan kuku. Jika seluruh kuku tercabut, isinya akan berdarah.” Mama cuba membela lagi.

“Ah! Isi itu akan sembuh beberapa hari kemudian.”

“Tapi ia akan melarat jika tidak dirawati dengan elok!”

Air mata Aimi semakin deras mengalir mendengar dia menjadi bahan perdebatan antara mama dan abi.

“Kenapa menangis ni dik?” tanya Amin tanpa disedari. Pertanyaan itu juga telah mengejutkan abi dan mama yang masih lagi berdiskusi. Aimi bingkas bangun dan berlari memasuki bilik. Aimi menutup pintu bilik dengan kuat dan merebahkan diri ke atas katil. Di situ dia menangis sepuas hati. Kemudian pintu terkuak dan Arina muncul di muka pintu. Aimi bangun dan menuju ke arah kakaknya lantas memeluknya dengan erat. Aimi sedar Arina juga telah merembeskan air mata.

“Akak akan terus berada di sisi Mimi, walau apapun yang terjadi. Hanya ALLAH yang dapat memisahkan kita.” Arina berkata tersedu-sedan. Aimi memahami maksud Arina. Kakaknya akan turut belajar di kampung di timur tanah air.

Aimi membalas pelukan itu dengan gerimis yang semakin lebat. Dia ternampak kelibat Amin. Walaupun mata abangnya ditutupi dengan kanta yang agak tebal tetapi masih dapat dilihat dengan jelas kelibat matanya yang merah. Mungkin abang turut menangis, bicara hati Aimi. Memang Amin seorang yang berjiwa lembut, tidak seperti lelaki lain. Dia dapat memahami Aimi, tidak seperti abi. Amin datang kepada Aimi dan memeluknya dengan erat, bagaikan perpisahan yang bakal berlaku adalah untuk selama-lamanya. Aimi meletakkan kepalanya ke dada Amin.

“Sudahlah. Jangan menangis. Ingat harapan abang untuk melihat Mimi mengatasi abang.” Aimi terus memeluknya bagaikan tidak mahu meleraikan pelukan itu. Air mata pula turun laju bagaikan musim tengkujuh telah tiba.

* * *

Aimi menatap kehijauan sawah yang sudah lama tidak ditatapnya. Sejuk mata memandang keindahan ciptaan Ilahi. Memorinya bersama Aini tiba-tiba bermain di benaknya. Kemudian di tersedar dari lamunan apabila mama menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Kamu janganlah bimbang. Mak dengan ayah akan jaga mereka dengan elok. Lagipun, hilang sedikit kesunyian kami,” kata nenek meyakinkan mama yang masih bimbangkan mereka.

“Kami pergi dulu ya mak. Esok Abang Fawaz kerja. Assalamualaikum.” Mama melangkah masuk ke dalam kereta. Mereka menjawab salam yang diberi serentak sambil menghantar pemergian proton wira itu dengan lambaian tangan. Aimi menatap kad yang dipegang sedari tadi.

“Hai, tak bosan ke tengok kad cinta tu hari-hari? Macam setiap perkataan membawa seribu makna je,” usik Arina apabila ternampak perlakuan Aimi.

“Salah ke? Tak adalah rindu sangat kat dia. Lagipun ini kad terakhir sebelum kami berpisah. Kenapa? Cemburu ke?” duganya sambil senyum meleret. Aimi kembali menatap tulisan di dalam kad itu.

Ke hadapan ukhti Nur Aimi Nazihah yang berada di sisiku sentiasa. Semoga sihat selalu hendaknya.

Ya ukhti,

Bersempena hari lahir kita yang ke-14 ini, Aini ingin menyampaikan sedikit kata-kata yang mungkin terakhir yang sempat Aini tulis sebab lepas ni sibuk pula dengan PMR dan SPM nanti. Ingatlah ukhti, setiap manusia akan menghadapi mati. Dan bagi saudara si mati, ia adalah dugaan untuk mengukuhkan iman dan mendekatkan diri dengan ALLAH. Ia adalah peringatan kepada yang leka supaya sentiasa bersedia menghadapinya.

Ukhuwah itu indah jika bertemu dan berpisah kerana ALLAH. Pertemuan akan kekal di ingatan, berpisah tidak gelisah. Hapuskanlah air matamu, ukhti. Ku dambakan alfun kemaafan daripadamu. Wassalam.

SELAMAT HARI LAHIR

27 SEPTEMBER

Adikmu,

aini

Air mata Aimi gugur lagi.

* * *

“Akak, siapa yang datang tu?” tanya Aimi sambil menuang air teh ke dalam cawan. Aimi sempat menjeling ke arah pemuda tampan yang berkulit putih di ruang tamu.

“Ha, itulah. Asyik berkurung dalam bilik je. Inilah anak Pak Mat, yang duduk kat tepi kedai runcit tu. Namanya Wan Nurul Iman Al-Hafizi. Dia belajar kat Mesir tetapi cuti sekarang. Dia nak jumpa dengan Mimi tapi kamu asyik mengelak je.” Aimi mengangguk-angguk. Pak Matlah yang banyak berjasa kepada datuk dan nenek dalam membantu menguruskan sawah mereka memandangkan umur mereka sudah lanjut.

“Macam mana dia boleh tahu Mimi asyik mengelak? Dia ke tetamu yang sering datang tiap-tiap petang tu?” tanya Aimi yang disambut dengan anggukan Arina. “Akak ada apa-apa ke dengan dia? Setiap kali dia datang akak juga yang jumpa dia. Oh, akak dengan dia bercinta ya?” usik Aimi sambil mengenyitkan mata. Walaupun mulutnya melafazkan gurauan itu, tetapi dia amat berharap gurauan itu tidak benar sama sekali. Muka Arina berubah kemerahan tetapi perubahan itu tidak disedari oleh Aimi.

“Mana ada. Dia datang pun sebab akak yang minta supaya dia boleh ajar akak.”

“Sesetengah orangkan, cikgu pun ada yang jadi suami.” Duga Aimi lagi. “Saya masuk ke bilik dulu. Nak tukar baju. Nak tengok jugak muka abang tu. Kalau berkenan boleh buat suami ni.” Aimi mengenyitkan mata sambil berlalu. Segala kata-katanya tadi hanyalah gurauan semata-mata.

“Mimi...Mimi...” nenek memanggil.

“Kejap nek!” terdengar sayup-sayup suara menyahut.

“Lama betul budak ni. Buat apa tah,” bebel Arina pula.

“Maaflah. Asyik pula duk baca artikel.” Aimi keluar ke ruang tamu sambil membetulkan tudungnya dan terus duduk di samping Arina.

“Ha, inilah Hafizi. Dah seminggu nak jumpa, baru dapat. Mimi pun satu, tak baik buat tetamu macam tu tau. Dah la. Nenek nak pergi kedai kejap,” kata nenek sambil berlalu keluar.

“Selalu ke akak berdua-duaan dengan dia? Tak kena tangkap basah ke?” bisik Aimi kepada kakaknya sambil memandang Hafizi dengan pandangan yang tidak senang. Perasaannya kuat mengatakan ada sesuatu antara Arina dengan Hafizi.

“Ya ALLAH, apa la Aimi ni. Tak baik tau cakap macam tu,” marah Arina.

“Maaf, saya nak pergi tandas jap ye.” Aimi berlalu pergi. Setelah kelibat Aimi hilang di sebalik dinding, kedua-dua mereka tertunduk.

“Ina dah bagi tahu ke belum tentang kita pada Mimi?” Hafizi memulakan bicara memecah kesunyian yang tercipta.

“Belum. Itu pun tadi dia ada bergurau dengan Ina. Ingatkan dia dah tahu hal sebenar. Saya takut dia tak dapat terima kenyataan.”

“Apa yang dibisikkan tadi?”

“Dia tanya kita ni tak kena tangkap basah ke? Nampak macam dia tak sukakan abang. Bimbang la. Lagipun dia tu sensitif sikit. Dulu dia lebih periang dan tak pernah pun berprasangka. Orang Sindir pun dia tak kisah, anggap macam nasihat. Tapi sekarang hampir semua perangainya berubah. Lebih-lebih lagi dengan tindakan abi ni. Saya harap abang layan dia sebagaimana abang layan saya. Tapi bukan bermakna cinta tau! Hanya kasih sayang seorang abang saja.” Arina mengingatkan Hafizi.

“Cemburu juga awak ni, ya?” usik Hafizi. Kemudian muncul Aimi yang sudah merah matanya. Air mata terus berguguran. Arina terus bangun dan memegang bahu Aimi. Lidahnya kelu untuk berkata-kata.

“Saya tak kisah abang dengan akak nak bercinta. Tapi kenapa sekarang? Bukankah ia terlalu awal? Dia saat perasaan saya masih belum tenteram, kenapa ini keputusan yang di ambil? Akak tak sayang saya ke?” Aimi terus berlari ke bilik. Arina kaku di situ, bagaikan orang yang tidak tahu apa yang terjadi.

“Pergilah pujuk dia,” gesa Hafizi. Arina cepat-cepat melangkah ke bilik. Apabila hampir dengan bilik, terdengar suara Aimi yang bercakap sendirian.

“Kenapa semua hak aku di ambil? Adakah mereka di ambil atau sengaja meninggalkanku? Kenapa? Adakah mereka tidak menyayangi aku?” Aimi terhenti seketika. Arina maju setapak dan terdengar lagi suara Aimi. “Memang mereka tak sayang aku. Mereka benci aku. Abi benci aku. Kak Ina pun dah mula benci dan bosan dengan sikap aku. Yang pastinya, setiap orang yang aku sayang pasti akan meninggalkanku. Kenapa aku tak pergi bersama mereka?”

“Jangan! Jangan begitu,” pintas Arina lantas meluru memeluk Aimi. Matanya mula berair.

“Kan akak dah berpaling kasih? Kenapa peluk saya? Pergi la peluk Abang Hafizi! Pergi!” jerit Aimi yang membuatkan Hafizi menapak ke bilik mereka.

“Akak tetap sayangkan Mimi. Sama seperti dulu. Masih tidak berubah, malah makin bertambah. Tetapi ini fitrah manusia untuk menyintai dan dicintai. Akak bukan milik mutlak Mimi.” Arina cuba memujuk.

“Tidak! Akak tipu! Akak mungkir janji! Akak kata tak mahu berpisah. Tetapi tak sempat sembuh luka saya, akak toreh lagi. Akak penipu!” Jerit Aimi sekuat hati. Arina memeluk Aimi dengan erat dan membiarkan dia menangis sepuasnya.

“Menangis. Menangislah sepuas-puasnya. Luahkan segala yang terpendam,” kata Arina dengan lembut.

“Memang akak penipu! Abang Hafizi pula pencuri. Dia rampas akak dengan sembunyi. Abi pula ayah yang kejam. Dia sanggup hukum anak dia tanpa perasaan belas. Tak pernah nak fahami hati anaknya. Mama juga perampas. Perampas kasih sayang abi kepada saya. Abang Amin pelupa. Tak pernah nak telefon apatah lagi melawat saya kat kampung. Saya benci semua! Sebab mereka aniaya saya dan benci saya.” Aimi meluahkan segala yang terpendam. Habis basah lencun tudung Arina. Hafizi yang memerhati turut bersimpati terhadap Aimi, seorang remaja yang tertekan dengan keluarganya. Tanpa disedari, air mata lelakinya gugur. Ya ALLAH, tenangkan dia dan berikanlah ketabahan kepadanya, doa Hafizi di dalam hati.

“Terima kasih kerana telah meluahkan segala masalah. Sekarang, kita selesaikan bersama ya?” pujuk Arina.

“Maafkan saya, kak. Saya tak dapat kawal emosi tadi,” kata Aimi kelesuan. Matanya yang bengkak itu menambahkan kesayuan sesiapa yang melihatnya.

“Ingat Mimi. Mimi masih mempunyai ALLAH. ALLAH adalah sebaik-baik teman. Luahkan segala masalah kepada-Nya. Dia pasti akan menolong walaupun tidak secara serta-merta.” Hafizi turut sama menyumbang nasihat. Aimi beristighfar beberapa kali.

* * *

Penantian selama ini muncul juga. Setelah mendapat kata-kata semangat daripada semua yang prihatin kecuali abi, Aimi melangkah masuk ke dewan peperiksaan dengan tenang. Semua soalan dapat dijawab dengan mudah sehinggalah genap lima hari peperiksaan berlangsung. Dia solat sunat syukur kerana dapat menjawab soalan dengan hikmah dan tenang. Aimi berhasrat untuk terus berada di kampung menemani Arina. Sambil itu dia mengambil kelas tahfiz di sebuah sekolah pondok di kampungnya.

Pada suatu malam, hati Aimi tergerak untuk menulis sepucuk surat luahan kepada abi. Segala yang terpendam di hati dinukilkan dalam surat itu. Air mata pula mencurah-curah bagaikan tinta kepada nukilan itu. Hampir berkecai surat itu, tetapi Aimi sengaja tidak menulis kembali supaya abi dapat memikirkan tentang air matanya yang kerap kali tumpah akibat perbuatan abi.

* * *

Esok adalah hari yang menentukan masa depannya. Berjayakah atau gagal? Persoalan itu mengganggu tidur Aimi sejak seminggu yang lalu. Aimi bangun bertahajjud pada malam itu untuk memohon keberkatan daripada ALLAH.

Sebelum bertolak ke sekolah, dia menyerahkan surat yang telah ditulisnya kepada Arina agar menyerahkannya kepada abi apabila abi sampai ke sini. Kalau bukan atas desakan mama, pasti abi tidak akan pulang untuk berkongsi kejayaan atau kegagalannya. Tepat jam 12 pagi, keputusan diedarkan. Aimi amat terkejut dan gembira apabila keputusan PMRnya sampai ke tangan. Dia mendapat 9A. Air mata kegembiraan dan terharu bercucuran. Alangkah indahnya jika saat-saat ini dapat dikongsi bersama ummi dan Aini. Dan amat diharapkan, sikap abi akan berubah. Segala layanan dingin abi akan berlalu.

Aimi menuju ke pintu pagar utama apabila ternampak kereta abi di seberang jalan. Tanpa melihat kanan dan kiri, dia terus meluru ke arah proton wira itu. Tiba-tiba hon dibunyikan dari arah kanan. Aimi terkejut dan terus kaku di tengah jalan. Abi yang terlihat adegan itu cepat-cepat keluar dari kereta, tetapi satu dentuman kedengaran. Sekujur tubuh terpelanting ke bahu jalan. Abi terus berlari ke arah tubuh itu dan terus memangkunya.

“Maafkan abi! Maafkan abi, Mimi. Abi tak sengaja sakitkan hati kamu. Maafkan abi!” kata abi antara dengar dan tidak akibat tangisannya. Lantas dia mengucupi dahi Aimi yang mengalami pendarahan serius di kepala. “Cepat hubungi ambulan!” Abi mengarahkan mama. Mama yang terkejut menjadi kelam-kabut tetapi cepat-cepat ditenangkan oleh Amin. Arina turut terduduk di sisi Aimi.

“Abi,” kedengaran suara halus Aimi yang lemah memanggil. Lantas abi berpaling ke arahnya. Mata ini amat dahagakan kasihku. Kenapa aku mengabaikannya? Membiarkan dia menanggung derita seorang diri akibat perbuatanku? Batin abi menjerit. “Mimi minta maaf kalau pernah menyakiti hati Abi. Minta maaf semua.” Aimi menyerahkan sekeping kertas yang digenggam sejak tadi lagi. Abi menatap kertas itu lantas mengucup dahinya sekali lagi.

“Tahniah.” Sepatah perkataan itu keluar dari mulut abi. Aimi mengerang kesakitan dan mulutnya mula melafazkan kalimah syahadah kerana terasa nafasnya sudah berada di kerongkong. Arina terus memeluk Aimi. Sekurang kurangnya itu adalah pelukan terakhir semasa dia masih hidup. Aimi membalas pelukan itu dengan sebuah senyuman. Beberapa detik kemudian, tangan Aimi terkulai layu. Tangisan mama semakin kuat.

“Mimi! Jangan tinggalkan akak!” jerit Arina. Apabila ambulan telah tiba, Aimi di bawa ke hospital. Arina cuba untuk berdiri tetapi rebah semula. Nasib baik sempat di sambut oleh Amin. Mukanya pucat lesi tanpa sebarang darah. “Baru saya sedar bagaimana perasaan kehilangan seseorang yang amat disayangi. Semasa ummi meninggal, Mimi pengsan tapi saya hanya menangis. Semasa Aini meninggal, Mimi pitam sehari suntuk tapi saya hanya menangis juga. Hari ini saya dapat rasakan apa yang diarasainya selama ini,” tutur Arina tanpa dipinta. Amin tertunduk mendengar kata-kata Arina.

“Sabarlah Ina. Ini adalah ujian-Nya kepada kita. Dah, jom ke hospital,” kata Amin memapah Arina ke kereta. Aimi telah di sahkan meninggal dunia di hopital. Arina meraung sekuat hati di dalam pelukan Amin apabila mendengar perkhabaran itu. Semua ahli keluarga mereka menitiskan air mata. Di sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Hati Arina sedikit tenang melihat jenazah Aimi yang putih bersih dan tenang bagaikan senyuman terukir di dalam pembaringan yang dibaluti dengan kain putih. Kucupan terakhir dihadiahkan di dahi Aimi.

Aimi, akak doakan ketenangan dan kebahagiaanmu di alam baqa’. Semoga engkau tergolong dalam golongan anbiya’ dan para syuhada. Akak akan sentiasa mengingatimu walaupun akak amat sedih kerana kejayaan yang kau kecapi tidak sempat dikongsi bersama. Akak sedekahkan setangkai al-Fatihah untukmu, sayangku.

No comments: