Thursday, December 17, 2009

Dikorban kerana-Nya

Assalamualaikum.Cerpen ini adalah cerpen sempena aidil adha. Cerpen yang agak mengarut (tak pernah ana buat sebelum ni), dibuat kerana ingin menyertai sayembara cerpen anjuran unit ICT kpkm.

Selamat membaca!

DIKORBAN KERANA-NYA
“Kamu seharusnya menunjukkan prestasi yang baik supaya terpilih. Saat-saat ini mereka akan mula memilih kita semua yang sihat tubuh badan.”Pak Abyadh mula berbicara setelah mengajak Abang Ahmar berbicara agak jauh dari kumpulan kami. Aku merengek untuk mengikut bersama sekalipun Abang Ahmar melarang. walaubagaimanapun Pak Abyadh menegah dan membiarkan aku mengikuti mereka.

“Tapi saya takut bila dengar cerita Iswid.” Suasana sunyi seketika. Aku memandang kelompok sebelah kanan. Di situ ternampak ibu bersama rakan-rakannya, para ibu yang bersama si kecil mereka. Ada antara si kecil itu sebaya denganku sebenarnya. Entah kenapa aku lebih suka berlagak dewasa mengikut Abang Ahmar ke mana sahaja.

Kecuali apabila dahaga atau lapar, aku kembali kepada ibu. Merengek meminta susu.
Padang ragut seluas tiga hektar itu dapat memuatkan kami semua yang berjumlah tak lebih daripada 50 ekor. Itu yang ibu ceritakan kepadaku. Aku hanya pandai membilang satu sehingga 10 sahaja. Selepas 10 aku tidak tahu apa yang perlu disebut. Kata ibu lagi, aku generasi yang kelapan. Dulunya, Tuan kami, Haji Abdullah membela lembu untuk harta simpanan sahaja, akan dijual ketika saat memerlukan wang. Namun setelah beliau pencen daripada kerajaan, beliau mengembangkan lagi sektor ternakan ini.

“Dia cerita apa pada kamu?”
“Kita semua akan tengok satu persatu kawan seangkatan disembelih sementara menunggu giliran.”
“Kamu takut untuk jadi korban? Korban itu salah satu daripada ibadah yang terbesar manusia untuk pengabdian kepada Allah s.w.t. Kamu tidak mahu menjadi mulia di sisi Allah?”
“Teringin juga. Tapi membayangkan mereka disembelih di hadapan mata menanti saat diri sendiri pula, seolah-olah mengerikan bagi saya.”
“Apa yang kita mahu sebenarnya? Dipilih kerana mencari redha Allah? Atau dipilih untuk mendapat nama disebut-sebut oleh kaum disebelah sana?” Tanya Pak Abyadh sambil menjeling ke arah kumpulan dibelakang para ibu tadi, kelompok dara semuanya. Abang Ahmar tertunduk. “Aku faham, mungkin kerana kamu masih muda, masih ingin bersuka ria. Mengusik-usik dara di sana.” Abang Ahmar terdiam lagi. Sambil kakinya menguis-nguis rumput di tanah. Rumput yang kuat mencengkam tanah, sebagaimana juga semangat Pak Abyadh terus menerus menyampaikan semangat kepada kami semua yang masih gagah teruna untuk mempersiapkan diri supaya terpilih di musim korban ini. Sebelum tibanya 10 Zulhijjah.

“Kenapa mereka tak pilih Pak Abyadh ya? Pak Abyadh kan lebih tua daripada arwah ayah kami?” tetiba aku mencelah. Abang ahmar menunjukkan reaksi marah dengan celahanku. Mungkin rasa mengganggu perbualan mereka.
“Aku bukannya tidak mahu sebenarnya. Aku ingin sahaja menyatakan bahawa aku ingin bersama dengan mereka yang dikorbankan. Doaku kepada Allah siang malam sewaktu aku meningkat remaja. Namun mereka telah meletakkan aku sebagai lembu baka. Menggantikan ayah kamu.” Pak Abyadh menerangkan kepadaku sambil tersenyum. Dia amat kasihkan anak-anak lembu kecil, yang mana kebanyakan adalah keturunannya sendiri. Aku merupakan anak bongsu ayahku. Ibu kata ayah sudah terlalu tua untuk dijadikan baka, lantas Haji Abdullah menyembelih ayah untuk dijual dagingnya.
“Kenapa ayah tidak dipilih sebagai lembu korban?” aku bertanya lagi.
“Mungkin kerana terlalu tua. Aku juga tidak tahu kenapa. Tetapi ketahuilah sewaktu aku kecil sepertimu Asfar, ayahmu selalu menanamkan dalam mindaku, berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi lembu korban. Namun semuanya takdir Allah, aku dipilih untuk menjadi baka. Aku redha, pasti ada hikmah di sebalik semua ini. Aku hanya menyambung amanah ayahmu supaya menyeru lembu-lembu lain untuk bersedia menunjukkan potensi diri untuk dikorbankan. Cuma Iswid…”
“Kenapa Iswid bersungguh-sungguh menghalang daripada kami dipilih sebagai lembu korban?” Tanya Abang Ahmar sebelum sempat Pak Abyadh melengkapkan kalam.
“Sebenarnya dahulu dia pernah mengintai melihat peristiwa korban sewaktu dia kecil. Pada waktu itu, entah bagaimana dia terlepas daripada tali penambat. Seharian Haji Abdullah cari tidak dijumpai ke mana.

Keesokannya merupakan 10 zulhijjah, hari raya korban yang pertama. Kebiasaannya, lembu-lembu yang tidak dikorbankan Haji Abdullah asingkan daripada lembu yang telah terpilih untuk dikorbankan. Pada pagi raya tersebut dia kembali ke padang ragut yang mana merupakan kawasan penyembelihan korban. Saat usia belum matang, melihat satu persatu lembu disembelih di depan mata. Kalau tidak salah, ada di antara lembu-lembu yang tidak rela disembelih setelah melihat sahabat yang lain. Sehingga ada yang terlepas dari tali melarikan diri, dikejar dan pelbagai lagi peristiwa.

Sememangnya satu perkara yang tidak wajar manusia lakukan ialah membiarkan sahabat-sahabat lain melihat sahabat disembelih di depan mata. Sebagaimana lembu yang disembelih untuk daging, mereka disembelih sewaktu matahari sedang memunculkan diri di ufuk timur. Disembelih pula jauh dari kawasan kita dan hanya seekor dua sahaja yang dipilih. Namun sehingga sekarang, aku sendiri tidak tahu bagaimana hendak memberitahu manusia tentang hal ini. Itulah perjuangan yang dibawa oleh Iswid. Tetapi aku bukan bermaksud membenarkan Iswid kerana sewajarnya dia tidak boleh menyeru kepada tidak mahu menjadi lembu korban. Niatnya betul tetapi caranya salah. Ibadah korban ini besar darjatnya di sisi Allah kepada manusia sehingga Allah menyebut di dalam al-Quran di dalam surah al-Kauthar ayat dua yang bermaksud ‘maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah)’. Kita sewajarnya rasa beruntung dan bersyukur kerana tergolong dalam senarai binatang yang akan dipilih untuk dijadikan korban. Jadi salah satu cara bersyukur ialah persiapkan diri untuk dijadikan korban.” Panjang lebar Pak Abyadh menyuntik semangat kepada Abang Ahmar. Aku sendiri pun terasa bersemangat. InsyaAllah apabila umurku sudah cukup nanti, aku juga ingin terpilih sebagai binatang korban, yang mana daging binatang korban, kata ibu, hukum asal mengharamkan diberi kepada orang kafir mengikut mazhab Imam Asysyafie rahimahullah.

Abang Ahmar semakin bersemangat selepas diceramah Pak Abyadh pada waktu itu. Aku kagum melihat Abang Ahmar sebenarnya, tidak pernah dilihat dia bersama dengan lembu betina. Lebih suka untuk bersendiri melihat kejadian Allah, lantas menceritakannya kepadaku. Mungkin kalau kaum India tahu peristiwa ini mereka akan mengangkat Abang Ahmar sebagai Tuhan lembu. Walhal semua binatang fitrahnya menghambakan diri kepada Allah, al-Khaliq. Kami tidak pernah sekalipun lalai dalam mengingati Allah pencipta kami semua. Tidak seperti manusia yang lalai dan lupa akan Tuhannya.

Saban malam aku lihat abang Ahmar memandang langit, seolah-olah merintih kepada Allah s.w.t. supaya memilihnya untuk dijadikan korban. Sehingga suatu pagi, saat aku leka bermain bersama sahabat cilik yang lain, Abang Ahmar telah dibawa oleh manusia lain. Aku yang tidak menyedari hal itu, kemudian mencari Abang Ahmar petangnya sambil menangis-nangis. Ibu datang menenangkanku dan memberitahu bahawa Abang Ahmar telah dikabulkan doanya oleh Allah. Dia telah dipilih untuk dijadikan korban tahun ini. Perasaanku saat itu bercampur baur. Gembira tetapi sedih. Atas pilihan pembeli lembu itu dia ingin menjaga sendiri Abang Ahmar seminggu sebelum dikorbankan. Hari ini takbir bergema, menandakan hari yang ditunggu telah tiba. Abang Ahmar dikorbankan hari ini. Semoga pengorbanan Abang Ahmar dan tuannya diterima Allah. Abang Ahmar! Insya-Allah

Asfar akan ikut jejakmu!

No comments: