Monday, June 2, 2008


asslamualaikum...
buku yang baru di pasaran (mungkin)...Zahrah de Tigris ataupun dalam bahasa Melayunya Si Kembang di Sungai Tigris..
mengisahkan seorang wanita, Kharunnisa yang berhati keras dan degil, sanggup menjalani kehidupan di Iraq sewaktu tentera bersekutu Amerika datang menyerang Iraq semata-mata untuk mencurahkan bakti mendidik saudara seIslam di sana walaupun tidak pernah belajar Bahasa Arab Fusshah apatah lagi Bahasa Arab 'Ammi...
sebuah garapan 'hidup' daripada khairyn, bagi saya betul-betul menambat hati...segala fakta yang dikemukakan tepat dan tiada penipuan (bagi saya yang agak kurang mengambil perhatian perkembangan semasa) dan menyedarkan saya bahawa kita perlu ambil peduli nasib saudara kita di lain dan berusaha mengubah dan meringankan beban mereka walaupun hanya seuntai doa!
walaupun novel ini turut menyelitkan unsur cinta, tetapi bagi saya masih boleh diterima kerana cinta yang disentuh tidak terlalu diawangan dan tidak mengkhayalkan.
sebuah garapan yang agak hebat bagi saya kerana dapat menghidupkan watak yang(mungkin) tiada di alam nyata di tengah suasana sebenar...
wajar untuk para sahabat mengambil buku ini sebagai santapan...walaupun unsur dakwah bukan secara langsung tetapi sebagai generasi rabbani dan al-albab sewajarnya kita dapat mengaitkan dengan nilai-nilai agama dan kemanusiaan...
wallahua'lam

Read More......

Sunday, June 1, 2008

Catatan Firdaus

Firdaus! Mari solat!

Tak nak!

Tiap-tiap kali ibu atau ayah ajak solat, itu jawapan aku. Aku lebih suka main permainan komputer atau tengok kartun. Walaupun macam-macam pujukan yang disuakan, aku tetap tak mahu.

Pernah sekali aku solat berjemaah bersama ayah dan ibu, tapi mereka solat terlalu lama. Aku lebih suka berjemaah bersama Pak Anjang yang belajar di politeknik (seperti yang ibu beritahu) kerana dia solat tak sampai dua minit(setelah aku meneliti jam di dinding).

Namun Pak Anjang aku tak suka aku berjemaah di belakangnya. Lagipun dia memang tak suka aku. Dia lebih suka menghabiskan masa dengan kawan-kawannya di tepi longkang berdekatan dengan kawasan perumahanku (kalau di kampung nenek, bangsal). Ibu pun marah juga padanya, sebab bila ajak berjemaah dengan ayah, Pak Anjang menolak. Bila solat bersendirian, macam-patuk-patuk ayam saja.

Aku sudah lama tidak jumpa Pak Teh. Cik Su cakap Pak Teh belajar dekat Mesir, Universiti al-Azhar. Dulu dia belajar di Maahad Tahfiz. Cik Su beritahu Pak Teh nak balik bulan Ramadhan ni. Jadi Imam solat Terawikh di kampung. Sudah dua tahun lebih dia tak balik.

Ramadhan tahun ni aku berkira untuk menetap di kampung sehingga ibu dan ayah balik. Bosan duduk di rumah. Lagipun Ramadhan kali ini berkebetulan dengan cuti sekolah. Aku sekarang sudah darjah dua. Ramadhan tahun lepas memang amat bosan. Hanya tinggal dengan bibik, disamping mendengar Fathanah menangis, Faizal mengamuk kemudian menyepakku dan mulut becok bibik memarahi aku dan Faizal. Bukan aku buat salah tapi Faizal yang degil. Tertekan betul aku dengan perangai Faizal yang mengada-ngada.

Namun ibu dan ayah sayang betul kepada Faizal. Kata mereka Faizal tidak degil macamku. Diajak mengaji, dia terus patuh. Disuruh solat, dia tidak pernah berdalih. Diajar apa-apa perkara cepat sahaja ditangkapnya. Memanglah, dia tidak selembab aku. Hidup aku hanya dengan buku-buku sekolah dan komputer. Tidak bersosial seperti Faizal. Tidak pandai membodek macam Faizal.

Tapi dalam banyak-banyak perkara, satu perkara sahaja yang ayah tak tahan dengan si Faizal, suka berkasar denganku, berebut barangan denganku dan menengking-nengkingku. Boleh dikatakan setiap hari Faizal dimarahi kerana aku. Namun macam aku katakan tadi, bukan aku yang buat tapi Faizal yang degil.

Betul Firdaus nak balik kampung cuti sekolah ni? tanya ayah pada suatu malam.

Ya la ayah. Bosan duduk kat sini. Ibu dan ayah pergi kerja. Adik Fathanah asyik nangis. Faizal asyik marah-marah Firdaus. Tension la ayah! kataku sambil terus melihat kartun kegemaranku.

Isy, budak zaman sekarang kecil-kecil sudah pandai tension ya? Ibu cuba bergurau.

Walauapapun terjadi, aku tetap hendak balik kampung, walaupun aku tahu nenekku pasti paksa aku solat, mengaji al-Quran dan pergi masjid. Biarlah. Aku rela daripada hari-hari dipukul oleh adik sendiri.

Sehari sebelum Ramadhan bertamu, aku dihantar pulang ke kampung oleh ibu dan ayah. Walaupun tempoh persekolahan berbaki satu hari, aku tetap berkeras hendak pulang. Lagipun hari terakhir di sekolah tiada apa-apa yang menarik pun.

Cik Su menyambutku di rumah nenek dengan senyuman yang bergula(bagiku). Rumah nenekku(maksudku yang sebelah ibu kerana nenek dan datuk sebelah ayah sudah meninggal dunia-seperti kata ayah) jauh di Pantai Timur. Perjalananku dari rumah iaitu seksyen U6(seperti yang ibu cakap) ke rumah nenek di Pintu Geng (seperti Cik Su cakap) memakan masa lebih kurang 9 jam, sebagai mana yang aku kira.

Cuma aku hairan, kenapa Cik Su pakai tudung hari ni sewaktu di dalam rumah? Biasanya tak pakai pun. Bila ayah dan ibu balik hari Ahad kemudian, barulah dia melepaskan rambut paras dada yang ikal (seperti kata Tok Cik) itu. Aku tanya Cik Su sebaik sahaja ayah dan ibu bertolak pulang kerana ibu cakap bertanya salah satu kunci ilmu selain membaca. Katanya Cik Su dan ayah hanya adik-beradik ipar, jadi kena tutup aurat. Tak boleh buat macam adik-beradik kandung. Tapi kenapa Cik Su tak pakai sejak dulu, aku bertanya lagi. Cik Su bagitahu, dia baru sahaja tahu bila Pak Teh bagitahu.

Cakap pasal Pak Teh, ada suatu perkara aneh aku alami ketika bersamanya. Buat pertama kali aku berjemaah maghrib yang diimaminya, aku terus jatuh cinta kepada solat, malah solah berjemaah! Entah, aku rasa asyik mendengar bacaan ayat al-Quran yang dialunkan oleh Pak Teh. Sehingga aku lupa masa, dan merasakan amat pantas masa berlalu. Sedar-sedar saja sudah rukuk.

Kalau dulu, tak pernah sekalipun aku ke masjid atau surau untuk berterawikh, tetapi kali ini, aku yang mendahului orang lain. Ibu dan ayah nampak gembira sekali dengan perubahanku. Pah Teh cuba ajakku mengaji. Pada mulanya aku menolak kerana berasa sangat malu. Maklumlah, Faizal sudah hafaz sampai surah al-Dhuha, sedangkan aku, al-Fatihah pun belum betul lagi makhrajnya. Namun, setelah dipujuk-pujuk, akhirnya aku menurut.

Kuasa ALLAH, sewaktu aku mengaji bertalaqqi (seperti kata Pak Teh) sebaik sahaja selepas solat Terawikh aku menangis terisak-isak kerana beberapa kali tersangkut pada tempat yang sama, dalam surah AnNas. Hingga serak suaraku kemudian tidak keluar lagi kerana terlalu banyak lendir yang berkumpul di tekakku.

Akhirnya Pak Teh terpaksa berhenti dulu. Dia tenangkan aku buat seketika, memberi aku minum segelas air. Dia tanya, kenapa aku menangis. Aku menjawab, aku sedih dan malu kepada ALLAH kerana bila di ajak mengaji, aku tak mahu. Pah Teh pernah bagitahu sewaktu kuliah subuh di masjid, jika al-Fatihah tidak betul bacaannya ALLAH tidak akan terima solatnya. Sekarang, baru aku sedar pentingnya mengaji al-Quran.

Pah Teh cakap, sepatutnya aku bersyukur, ALLAH meniupkan nur hidayah ke dalam hatiku kerana sedar kepentingan belajar membaca al-Quran. Aku tanya Pak Teh, nur hidayah tu apa? Macam nama kawan kat sekolah saja. Pak Teh tersenyum. Nur hidayah tu cahaya petunjuk, gerak hati untuk kembali ke jalan yang benar, jalan yang di redhai ALLAH. Pak Teh ajar aku sujud syukur. Niat sewaktu sebut ALLAHUAKBAR, serentak dengan itu perlu sujud. Sewaktu sujud baca SUBHANALLAH, WALHAMDULILLAH, WALAILAHAILLALLAH, WALLAHUAKBAR. Kemudian bangun dan duduk tahiyyat akhir diikuti dengan salam.

Pak Teh cakap lagi, bukan senang nak cari budak yang minat al-Quran zaman sekarang ni. Seorang dalam seribu. Aku beritahu yang aku bimbang, aku tak pandai baca al-Quran lagi. Makhraj banyak yang salah. Pah Teh cakap, tak apa selagi ada masa perlu belajar. Ada sesetengah orang tak dapat sebut sesetengah makhraj, tapi tak berdosa selagi dia belajar untuk membetulkannya.

Pak Teh kata, setiap seorang yang baca al-Quran dengan fasih dan lancar dapat 10 kebajikan bagi setiap huruf yang dibaca. Sedangkan orang yang baca tersangkut-sangkut dan tidak fasih, sedang dia berusaha membaikinya, dia akan mendapat dua kali ganda.

Setiap malam sebelum tidur, Pak Teh selalu cerita kisah perjuangan Rasulullah sewaktu berdakwah. Tak pernah aku dengar cerita-cerita sebegini daripada ibu atau ayah. Aku amat asyik mendengar cerita Pak Teh, kadang-kadang sampai tengah malam. Aku juga tidak sabar menunggu hari esok untuk dengar kisah selanjutnya.

30 hari berpuasa terasa bagai seminggu cuma. Ibu dan ayah sudah sampai sejak semalam. Faizal kelihatan agak sopan sedikit, entah apa yang berlaku. Kata ibu dia rindukan aku. Aku ketawa kerana tidak percaya. Masakan rindu, bila ada di depan mata, asyik membuli aku saja. Malam ini malam satu Syawal. Kami sekeluarga termasuk bibik dikerah ke masjid olehku kerana Pah Teh akan jadi imam untuk solat sunat tasbih. Pak Teh kata dalam seumur hidup kita perlu tunaikan solat sunat tasbih paling kurang sekali seumur hidup. Lebih kerap lebih bagus.

Sebelum solat sunat tasbih, iaitu selepas solat ‘Isyak dan solat sunat ba’diah (bak kata Pak Teh), Pak Teh memberi penerangan tentang solat sunat tasbih terlebih dahulu. Solat ini dilakukan empat rakaat, sama ada dua salam atau satu salam, tetapi biasanya pada waktu malam dilakukan dua salam. Dan malam ini juga akan buat dua salam.

Jumlah semua tasbih 300, jadi setiap rakaat 75 tasbih. Selepas baca al-Fatihah dan surah pilihan baca 15 tasbih. Semasa ruku’, i’tidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud kembali dan duduk istirahah atau tahiyyat perlu baca tasbih sebanyak 10 kali. Jika lupa sudah berapa kali, baca lagi tasbih sehingga yakin mencukupi. Biar lebih asalkan kita yakin sudah cukup 300 tasbih. Tasbih yang di baca ialah SUBHANALLAH, WALHAMDULILLAH, WALAILAHAILLALLAH, WALLAHUAKBAR, WALAHAULA WALAQUWWATA ILLABILLAH.

Semasa solat sunat tasbih, Faizal tertidur sewaktu sujud rakaat ketiga sehingga selesai solat. Aku tersenyum sendirian. Aku juga mengantuk, beberapa kali terlelap, tetapi aku gagahkan diri kerana aku ingin memohon keampunan Tuhan. Selepas salam, aku memangku kepala Faizal. Dia terlalu nyenyak tidur sehingga tidak sedar ketika aku mengalihkan kepalanya. Entah kenapa, aku rasa kasih yang amat sangat kepadanya walaupun dia selalu memukulku.

Keesokan harinya, selepas solat sunat hari raya, kami sekeluarga bersalam salaman dan bermaaf-maafan. Pak Teh tidak menegah, cuma dia cakap muslim Melayu sudah terbalik. Sepatutnya masuk Ramadhan bermaafan, masuk Syawal bergembira kerana berjaya menempuh Ramadhan. Takbir hari raya pun sayu saja. Sepatutnya bersemangat. Cik Su tanya, kenapa tak ubah sewaktu Pak Teh mengetuai takbir. Pak Teh jawab dah ubah, tapi orang yang ikutnya tak ubah-ubah pun nada sayunya itu. Hari Raya Aidil Fitri sepatutnya sehari manakala Hari Raya Aidil Adha empat hari, tetapi yang jadinya Hari Raya Aidil Adha sehari, Hari Raya Aidil Fitri sebulan. Mentang-mentang puasa sebulan.

Sewaktu tolong Cik Su yang tengah basuh pinggan, Cik Su bagitahu hari raya ketiga Pak Teh akan kahwin. Aku tanya balik, kahwin tu apa? Ibu tolong jawab, kahwin tu macam ibu dengan ayah la. Nanti Firdaus dah tak boleh tidur dengan Pak Teh lagi. Aku terkejut mendengar perkhabaran itu. Dah tak boleh tidur dengan Pak Teh? Dan tiada siapa lagi yang akan cerita kepadaku sebelum tidur nanti?

Aku melangkah longlai keluar dari dapur ke sebuah pohon mangga di tepi rumah nenek. Pak Teh dah nak kahwin lusa? Aku dah tak dapat tidur dengannya. Tiada lagi Sirah Perjuangan Rasulullah yang dapat aku dengar. Tiada lagi orang yang dapat mengajar aku mengaji. Nanti bila isteri Pak Teh dah beranak, tiada lagi kasih sayang dari Pak Teh. Aku terpinggir. Dah tak boleh berjemaah dengan Pak Teh. Dah tak dapat dengar Pak Teh baca al-Quran dengan pelbagai jenis tarannum. Tanpa ku sedar air mataku gugur ke bumi. Dadaku sebak.

Kenapa ni? Pak Man, sepupu ibu yang sebaya dengan Cik Su bertanya. Aku mengesat air mata dan menggeleng kepala. Takkanlah tak ada sebab boleh menangis tiba-tiba? Kurang-kurang mesti sebab mata masuk habuk ke? Kata Pak Man lagi.

Aku hanya mampu senyum. Firdaus tak suka Pah Teh kahwin. Aku mula membuka mulut setelah lama melayan perasaan.

Kenapa pula? Bukankah bagus berkahwin ni? Salah satu sunnah Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Aku menyambut selawat yang disebut. Ustazah cakap apabila ada orang sebut nama Rasulullah sallallahualaihi wasallam, maka kita kena sambut dengan selawat sebab orang yang tak berselawat ke atas nabi apabila nama baginda disebut termasuk dalam orang yang kedekut.

Tapi, nanti tak ada siapa nak temankan saya tidur, nak bercerita tentang sirah perjuangan Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Air mataku mengalir kembali.

Lahaula walaquwwata illabillah. Itu ke penyebabnya kamu menangis? Firdaus, memanglah fitrah manusia bila suka sesuatu, dia tak nak lepaskan. Dia rasa itu miliknya seorang sahaja. Tapi Firdaus kena ingat, semua itu milik ALLAH subhanahu wata‘ala. Ini baru berpisah sebab Pak Teh nak kahwin saja, nanti kalau Pak Teh pergi buat selamanya, takkan Firdaus nak meraung-raung? Pak Teh kahwin saja Firdaus. Memanglah dia tak tidur dengan Firdaus. Tapi boleh saja kalau kamu minta dengan dia, asalkan jangan acap kali. Nanti terasa pula isterinya. Kalau cerita tentang sirah tu, Pak Teh boleh saja ceritakan. Tapi ubahlah waktu. Waktu petang ke, waktu malam ke. Bukan waktu sebelum tidur macam biasa la. Pak Man pun boleh gantikan Pak Teh juga.

Aku hanya tunduk membisu. Betul juga Pak Man cakap. Pak Teh cakap sunnah Rasulullah sallallahualaihi wasallam itu perlu jadi ikutan. Lagipun takkan Pak Teh membujang seumur hidup kerana aku? Tak logik!

Malamnya Pak Teh bersembang denganku seusai menolong nenek mengemas dapur selepas makan malam. Pak Teh tanya aku, betul ke Firdaus menangis bila dengar Pak Teh nak kahwin. Aku sekadar membisu. Diam tandanya setuju, Pak Teh menambah lagi. Aku tetap berdiam diri. Pak Teh bertanya lagi, Firdaus faham ke tak kenapa umat Islam perlu kahwin?

Aku menggelengkan kepala, kemudian bersuara. Mungkin sebab mereka nak anak. Pak Teh hanya tersenyum mendengar jawapanku.

Pak Teh bagitahu, kahwin ini bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, menjaga kelangsungan generasi manusia, mengembangkan masyarakat Islam, mencegah daripada keruntuhan akhlak, mewujudkan ketenteraman jiwa dan mengeratkan silaturrahim.

Aku terpegun dengan penjelasan Pak Teh. Bukan kerana kagum tetapi kerana tak faham.

Pak Teh menambah penerangan lagi. Fitrah manusia ni Firdaus, mereka suka disayangi dan menyayangi seseorang tambah-tambah berlainan jantina. Atau orang sekarang kata bercinta. Macam Pak Anjang kamu yang selalu kacau Kak Samihah anak Tuk Nab tu. Itu fitrah sebenarnya. Tapi umat Islam sekarang banyak silap, sebab mereka tak ikut garis panduan Islam. Nak bercinta tak salah, tapi kena halalkan perhubungan dulu. Caranya, kahwin.

Lepas kahwin, mesti nak anak. Sebab apa? Sebab nak sambung generasi. Manusia ni Firdaus, mesti nak ada generasi sendiri, dari keturunan sendiri bukan keturunan orang lain, bukan anak orang lain. Sebab tu sesetengah orang yang tak ada anak, tetap berusaha untuk ada anak sendiri. Walaupun terpaksa berjuta-juta ringgit habis. Jadi, kita kena bersyukur tau sebab ALLAH permudahkan mak bapak kita untuk dapat zuriat sendiri.

Anak ni pula perlu diasuh dengan agama Islam. Rasulullah sallallahualaihi wassalam pernah bersabda, “didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara, iaitu mencintaiku, mencintai ahli keluargaku dan ajarlah al-QURAN kepada anak-anakmu”. Jadi boleh buat kesimpulan di sini bahawa, berkahwin sebenarnya proses untuk melahirkan jundullah, askar-askar ALLAH atau kata orang asli soldier of ALLAH (aku tergelak tatkala mendengar ungkapan orang asli).

Bila dah kahwin ni, kita dapat elak daripada keruntuhan akhlak tau! Tiada lagi pelacur, perbuatan zina dan yang sewaktu dengannya. Maka tak wujudlah kes-kes buang bayi, mengugurkan kandungan atau mengandung luar nikah. Maruah terjaga, kehormatan terbela dan malah dipandang mulia. Secara tak langsung, ketenteraman jiwa pun terpelihara. Rasulullah pun ada bersabda, salah satu daripada perkara yang perlu disegerakan ialah mengahwinkan anak perempuan apabila cukup umur. Maknanya Rasulullah amat menggalakkan perkahwinan.

Kahwin ni juga mengeratkan silaturrahim. Macam Pak Teh ni, kahwin dengan orang Sabah yang duduk di Selangor. Jadinya, keluarga tunang Pak Teh di Sabah ni berkenalan dan terjalin hubungan dengan keluarga kita. Padahal selama ini tak pernah kenal. Bukankah itu bagus? Menyahut tujuan ALLAH menciptakan manusia untuk saling berkenalan. Firdaus faham sekarang?

Aku mengangguk. Rupanya setiap suruhan ALLAH itu terlalu banyak hikmah. Dan ALLAH tak syariatkan sesuatu itu untuk membebankan manusia, tetapi untuk kebaikan mereka sendiri juga. Walaupun aku masih bersedih kerana ibu cakap kita akan tinggalkan Pak Teh di rumah isterinya selepas selesai majlis perkahwinan, tetapi aku perlu fikir kebaikan yang banyak lagi mengekori kesedihan itu.

Aku teringat surah Al-Insyirah yang baru aku hafal semalam. Ayatnya amat indah sekali. Dua kali ALLAh tegaskan bahawa sesudah kesusahan itu ada kemudahan. Inilah azimatku untuk terus belajar membaca al-QURAN. Malah aku menghafaznya terus, kerana Pak Teh ingin aku lebih hafaz al-QURAN daripadanya.

Malam itu aku melihat gambar bakal suri Pak Teh. Cantik! Amat cantik! Bagai bidadari di dunia. Pah Teh menegurku, bahawa kecantikan itu hanya semntara. Kerana nilaian di sisi ALLAH ialah taqwa.

Lusa, hari bermakna buat Pak Teh. Juga hari perpisahanku dengan Pak Teh kerana dia bakal tinggal di rumah isterinya buat seminggu. Dan aku pula perlu kembali ke rumah walaupun cuti persekolahan masih panjang. Ibu kata kami akan pulang kembali ke rumah nenek dua-tiga hari selepas perkahwinan Pak Teh kerana majlis menyambut menantu pula akan diadakan. Dan aku akan tinggal di rumah nenek kembali sehingga seminggu sebelum persekolahan bermula. Cuma aku kurang gembira apabila ibu menyatakan bahawa Faizal akan bersamaku. Tapi aku tidak dapat berbuat apa-apa.

Aku tidak mahu fikir apa yang bakal berlaku. Selagi ada masa, aku ingin menuntut ilmu dengan Pak Teh kerana dia bakal pulang ke Mesir semula untuk menyambung pengajian. Baru aku tahu umur Pak Teh masih muda. Baru mencecah 20-an. Aku agak terkejut kerana dalam umur yang sebegitu muda Pak Teh sudah ingin berkahwin. Tapi bila teringat balik tujuan sebuah perkahwinan seperti yang diberitahu oleh Pak Teh, aku mengerti.

Mulai malam itu, aku memasang azam untuk menjadi seperti Pak Teh. Mahir dalam bidang agama. Dan malah mungkin aku mahu jadi lebih daripadanya, menguasai ilmu sains dan agama. Jadi, aku perlu bersungguh-sungguh mulai sekarang. Tiada perkataan main-main dalam hidupku.

“Sesungguhnya bersama kesusahan itu kemudahan.”

Read More......