Sunday, August 3, 2008

KepadaMU ku berserah (cerpen)

Ya ALLAH, kenapa ibu buat keputusan sendiri? Selepas itu, setelah dua minggu baru aku dikhabarkan dengan berita ini? Alasan ibu hanya kerana aku sibuk dengan program mega di Maahad baru-baru ini. Sekarang bukankah ia lebih mengganggu memandangkan tiga minggu lagi aku akan menghadapi peperiksaan akhir tahun bagi tahun terakhir aku di sini? Entah, aku kurang faham dengan fikiran orang tuaku terkadang.

Kata ibu, Haji Raziff yang mula datang merisik khabar. Ibu terus sahaja memberi persetujuan setelah sehari memikirkannya. Kata ibu, dia telah istikharah. Aku naik pening, kenapa pula ibu yang istikharah? Empunya dirinya aku. Entahlah. Cuma aku harap, apa yang ibu pilih itu merupakan pilihan ALLAH buatku. Cuma ada satu kebimbangan yang menghantui diriku.

Azmi Ali Bin Raziff, itulah bakal teman hidupku. Umurnya sebaya denganku. Aku masih ingat, dia merupakan budak nakal di kampung, sewaktu aku masih di sekolah rendah. Walaupun dia pelajar yang agak pintar, kadang-kadang rasa kurang logik jika dibandingkan dengan kenakalannya. Dia selalu menyakat budak-budak yang pergi mengaji di surau dengan Ustaz Fauzan pada waktu malam. Tambahan pula surau itu bersebelahan dengan tanah perkuburan Islam. Aku bernasib baik kerana ibu sendiri yang mengajarku mengaji di rumah. Jadi, terlepaslah dari usikannya.

Di sekolah pula, dia sering melakukan kesalahan disiplin. Pernah juga aku yang menangkapnya sewaktu aku menjadi pengawas ketika berada di darjah enam. Merah padam mukanya menahan marah. Sekolah menengah, aku terpisah daripadanya. Aku memasuki Maahad Muhammadi Perempuan di Kota Bharu sejak kelas peralihan, dan dia, khabarnya memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) sewaktu tingkatan empat. Namun aku kurang pasti di mana. Kalau tidak silap, di Kelantan juga. Dan sehingga sekarang aku tidak pernah menemuinya.

Semalam aku ada menelefon Nisa’ iaitu sepupuku, bertanyakan perangai Azmi ketika menengah rendah dahulu. Menurut Nisa’, keadaannya masih sama. Yang berbeza, dia merupakan kaki perempuan. Berbekalkan ketampanan yang dimiliki, dia menjadi pujaan ramai. Disiplin bertambah bagus, akademik pun agak cemerlang. Itulah yang melayakkan dia memasuki SBP menurut Nisa’.

Dan sekarang, khabarnya dia belajar di UiTM Shah Alam. Bidang apa, Nisa’ tidak mengetahui. Aku tidak menceritakan suntingan yang aku terima daripada Haji Raziff kepada Nisa walaupun dia bertanya kenapa aku beriya-iya menanyakan hal ini. Bagiku, biarlah mereka mengetahui setelah kad jemputan kahwinku sampai di tangan mereka.

Ibu berjaya memujukku supaya menerima pinangan ini. Caranya cukup senang, membawaku mengimbau kembali jasa-jasa Haji Raziff terhadap keluargaku. Aku masih ingat, saat ayah meninggal dunia, beliaulah yang sibuk menguruskan jenazah ayah memandangkan kedua abangku berada di Mesir dan akulah anak yang paling tua di sisi ibu. Namun aku gagal melakukan apa-apa, apalah daya seorang wanita, melainkan menenangkan hati ibu yang masih terkejut dengan pemergian ayah. Adik-adikku yang lain semuanya perempuan kecuali yang bongsu. Haji Raziff jugalah yang membantu kewangan di rumah memandangkan ibu hanya tukang jahit di kampung. Berapa sangatlah pendapatan yang diperolehi.

Aku masih lagi ingat duit yang dihulurkan kepadaku setiap kali aku pulang bercuti, sama ada sebelum atau selepas ayah meninggal. Katanya, duit yang diinfaqkan kepada pelajar lebih baik. Apatah lagi pelajar maahad tahfiz seperti aku. Tanpa Haji Raziff juga, aku mungkin tidak dapat menamatkan diploma di sini. Dan sekarang aku menghampiri peperiksaan. Aku harus melakukan yang terbaik agar aku bisa menggenggam diploma dan membalas budi Haji Raziff. Tapi, adakah ini balasan yang beliau pinta dariku?

Ya ALLAH, hambamu ini tidak mengerti. Kenapa mesti Azmi? Selama ini aku sering memohon teman hidup yang bisa menjadi pemimpin agamaku, yang sama-sama menggerakkan dakwah di dalam pelayaran bahtera kami. Namun KAU beri daku calon suami yang aku tidak mengetahui keupayaannya.

Astaghfirullahal ‘Azhim. Apa yang aku fikirkan ini? Bukankah ALLAH lebih mengetahui apa yang terbaik untukku? Kenapa aku memandang rendah kepada manusia lain?

Aku teringat kata-kata Kak Yong, naqibahku, suatu ketika dahulu sewaktu berbicara mengenai jodoh. “Andai kau mendapat mujahid muttaqin, beruntung dan bersyukurlah. Kerana kamu bakal menjadi tangan kanan seorang Pewira Islam. Dan andai kamu mendapat muallaf, beruntunglah dan bersyukurlah juga. Kerana kamu bakal menjadi Mujahidah Solehah dan Srikandi Islam.” Aku menenangkan hatiku dengan mengiaskan muallaf kepada golongan yang tidak mendalami Islam dan hanya mengetahui perkara awam sahaja mengenai Islam.

{{Barang siapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya ALLAH akan membukakan jalan keluar baginya, dan DIA memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barang siapa bertawakkal kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya ALLAH melaksanakan urusanNYA. Sungguh, ALLAH telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.}}

(surah al-Talaq:2-3)

Dia masih tekun di meja belajarnya semalam, tidak sedikitpun terganggu dengan alunan suaraku yang sedang mengulang hafazan al-Quran. Hatiku sering tertanya-tanya, apakah terlalu berat subjek yang diambil sampai tiada masa yang diluangkan untukku. Sebelumku melelapkan mata dia masih di meja belajar. Setiap kali waktu ingin menjejak ke Subuh pula, dia yang akan mengejutkanku. Adakah dia tidak tidur?

Dan semalam juga, telefon bimbitnya berdering dalam keadaan ‘silent mode’ di atas katil kami, menunjukkan dia tidak mahu diganggu. Oleh kerana tiga kali pemanggil yang bernama ‘Ita’ itu menelefon, lantas aku menyuakan kepadanya. Dia hanya menekan butang reject, lantas memberikan kepadaku kembali. Aku teragak-agak mengambilnya, tetapi senyumannya meyakinkanku. Tetapi, kenapa dia tidak mahu menjawab panggilan tersebut? Namun mulutku terkunci untuk bertanya mengenainya.

Jika dihitung kembali, boleh dikira dengan jari berapa patah perkataan yang diucapkannya kepadaku dalam sehari. Apatah lagi belaian yang diberi. Seingatku, sentuhan dan ciuman pertama dan terakhir aku terima daripadanya hanyalah setelah usai acara ‘ijab dan qabul dengan Abang Baari. Selepas itu tiada lagi sentuhannya yang aku terima. Sekadar senyumannya sahaja yang diberikan.

Akad nikah kami diadakan di teratak usangku, berwalikan abang sulungku, Fathul Baari pada pertengahan bulan Mei yag lalu, iaitu dua hari yang lepas. Patutlah ibu ingin aku mengadakan akad pada waktu itu, berkebetulan dengan kepulangan Abang Baari yang ada sedikit urusan. Hampir tiga tahun Abang Baari tidak menjejakkan kaki ke bumi Malaysia, memandangkan kewangan yang tidak mencukupi. Dan baru-baru ini, dia mendapat sedikit sumbangan daripada ayah rakannya untuk membayar tiket penerbangan pergi dan balik, atas sedikit urusan kerja bersama rakannya itu sendiri. Ah, ibu terlalu bijak menyusun strategi dalam hal ini.

Cuma aku sedih, abangku yang kedua, Fathul Mubin tidak dapat menyaksikan perkahwinan adiknya, yang juga perkahwinan pertama dalam keluarga kami. Namun sesuatu yang menggembirakanku hinggap di cuping telingaku, mendengarkan khabaran bahawa Abang Mubin akan menikahi seorang muslimah di sana. Oh, terlalu banyak aku abaikan perkembangan mereka di sana. Aku bertanya kepada Abang Baari, bilakah giliran dia untuk berumah tangga? Abang Baari hanya tersenyum. Senyuman yang penuh kedukaan mungkin. Aku kurang mengerti dan aku tidak mahu dia bertambah luka dengan pertanyaanku.

“Biarlah adik-adik Abang Baari bahagia dahulu sebelum Abang Baari bahagia,” katanya lembut kepadaku. Kata-kata yang menyentap kegembiraanku. Aku mengerti yang dia sekarang berjuang dalam pelajaran dan juga bekerja secara sambilan untuk meringankan beban ibu. Semoga ALLAH berikan kekuatan kepadanya.

Enjin kereta yang dipadamkan secara tiba-tiba menyedarkan aku dari lamunan. Sudah sampai di stesen bas rupanya. Azmi Ali, iaitu suamiku terus sahaja turun dari kereta. Lagaknya seperti sudah ketinggalan bas. Tergesa-gesa dia mengambil beg sandangnya di boot kereta. Aku melangkah keluar dari kereta sesudah ummi dan abah melangkah keluar.

Suasana kereta yang bersimpang-siur di stesen bas Kota Bharu mengingatkanku saat-saat akhir aku menaiki bas di stesen bas Shah Alam sebelum berpisah dengan sahabat karibku, Syamsiah yang bermukim di Shah Alam. Setelah tiga tahun lamanya kami membina ukhuwah, kami akhirnya berpisah. Tambahan pula aku memilih untuk menetap di kampungku di Pasir Mas, Kelantan memandangkan aku akan memikul amanah sebagai seorang isteri. Manakala dia memilih untuk ke Mesir menyambung pengajian di sana.

“Hei, ingat kat sapa ha?” tegur suamiku. Aku tersenyum malu lantas menyambut huluran tangannya lalu mencium tangannya. Dia cuba menentang mataku namun ku larikan secepat mungkin. Terasa jantungku berlari dengan pantas sekali. Tiba-tiba tangannya menyentuh pipi kananku yang dilitupi niqab dan berkata, “jaga diri baik-baik. Doakan ustaz, erm.. abang ya? Em, abang nak exam esok. Final exam.”

Aku terkejut dengan permintaannya itu. Patutlah dia sentiasa melekap di meja belajarnya. Rupanya dia ada peperiksaan. Aduhai, isteri apakah aku ini? Perihal suami sendiri pun aku tidak tahu. Patutlah dia tidak melayan telefonnya yang sentiasa menerima panggilan.

Aku terasa ingin ketawa mendengar perkataan ustaz yang sentiasa dia tersasul ketika berbicara denganku. Padahal sebelum kami kahwin, hanya sekali sahaja aku pernah menghubunginya. Itupun melalui sms. Bertanyakan tentang baju hari aqad nikah. Memanglah aku membahasakan dirinya sebagai ustaz dan diriku sebagai ustazah, tetapi takkanlah sampai begitu sekali susah untuk dipinda kepada panggilan biasa?

“InsyaALLAH. Ma’attaufiq wannajah!” ucapku memberi semangat. Aku perasan ada beberapa mata memandang kami berdua. Maklumlah, aku memakai niqab. Tiba-tiba ada lelaki yang penampilan agak serabai, memakai seluar jeans dan t-shirt biasa menyentuh pipiku. Lagaknya seperti melakukan perkara haram bagi mereka, padahal ianya halal di sisi ALLAH. Aku juga terkejut melihatnya memakai sebegitu rupa, tetapi tidak mengapalah kerana bukanlah membuka aurat dan pakaiannya tidak keterlaluan.

Namun aku terfikir, mampukah aku untuk mengubah suamiku mejadi pendakwah yang hanya menyintai ILAHI? Ya ALLAH, di mana kepetahan aku memberi tazkirah kepada para sahabat sebelum ini? Di mana kepetahanku berbicara dan berhujah di hadapan para sahabat sewaktu di maahad tahfiz? Sedangkan malam ini aku tidak mampu membuka mulut memberi teguran kepada orang yang paling dekat denganku. Maafkan aku ya ALLAH!

Setelah menyalami ummi dan abah, Azmi Ali, atau lebih tepat Abang Azmi menaiki bas. Kami hanya menghantar dengan pandangan sehingga bas tersebut hilang dari pandangan kami. Dengan langkah longlai, aku mengekori ummi dan abah ke kereta. Tiba-tiba hinggap rasa sedih tatkala ditinggalkan suami. Bagaimana agaknya perasaan ibu sewaktu ayah meninggal dunia dahulu?

“Fatimah nak balik rumah ibu terus ke malam ni? Boleh saja ummi dan abah hantarkan,” tanya ummi membunuh lamunanku yang baru hendak bermula.

“Em, tak apalah ummi. Biar Imah balik sendiri esok. Lagipun dah janji dengan ibu nak balik esok. Ini dah lewat malam, tak mahulah Imah ganggu ibu.”

Bunyi deruman enjin tatkala ayah menaikkan gear mematikan perbualan kami. Ah, nampaknya tiga minggu lagi barulah aku dapat bertemu kembali dengan suamiku. Itupun setelah majlis kenduri di rumahku dan rumah Haji Raziff.

Ini malam terakhir aku di rumah ini pada bulan ini. Aku akan kembali ke sini setelah majlis kenduri kesyukuran. Aku harus tidur awal malam ini kerana pagi esok, tiada siapa lagi yang akan mengejutkanku sewaktu fajar hendak menyinsing. Aku bimbang aku akan ketinggalan solat tahajjud yang aku amalkan walaupun selalunya aku sentiasa terlepas sewaktu di rumah.

Sejak kahwin, alhamdulillah aku mula istiqamah mengamalkannya kembali kerana suamiku sering bangun awal, seawal empat pagi mungkin. Aku pernah terjaga pada pukul 4 pagi dan kelihatannya sedang melipat sejadah. Adakah itu amalannya atau hanya ketika hendak menduduki ujian sahaja? Ya ALLAH, tidak baik aku bersangka buruk terhadap suamiku. Astaghfirullah.

Aku mencari-cari telefon bimbitku di dalam beg tangan untuk mensetkan jam penggera. Namun aku tidak ketemu. Oh ya, aku tertinggal di rumah saat tergesa-gesa bersiap hendak menghantar Abang Azmi selepas solat Maghrib tadi. Seingat aku, kali terakhir aku terlihat di atas meja belajar abang Azmi. Aku bangun dari pembaringan dan menuju ke meja belajarnya. Tiada. Mejanya kosong, semua buku-buku yang sentiasa bersepah sepanjang malam sudah dibawa bersamanya. Hanya tinggal beberapa buah novel dan majalah.

Aku melangkah ke luar bilik menuju ke ruang tamu, bimbang kalau-kalau tercicir di situ. Juga tiada. Aku melangkah berhati-hati agar ummi dan abah yang berada di dalam bilik tidak terganggu. Lagakku macam seorang pencuri pula. Aku menuju ke arah katilku. Adakah aku meninggalkannya di sini? Ku membelek bantal satu persatu. Ah, itu dia! Di bawah bantal suamiku? Eh, nanti! Ini bukan telefonku. Memang modelnya sama tetapi tiada pelekat namaku di belakangnya.

Aku membuka kekunci keypad dan tertera gambar latar Abang Azmi sedang mencium dahiku selepas acara aqad nikah. MasyaALLAH, Abang Azmi tertinggal telefonnya di rumah? Tetapi tadi dia ada memegang telefon dan memasukkannya ke dalam poket. Astaghfirullah! Adakah dia terambil telefonku?

Aku lantas mencari namaku di dalam senarai nama di dalam telefon itu. Aku mulakan dengan nama Fatimah. Ah, ada dua. Satu ‘Fatimah’ sahaja dan satu lagi ‘Fatimah Zaharah’. Aku menekan melihat nombor bagi kedua-dua nama itu. Bukan nomborku keduanya. Aku mencari nama Imah pula. Muncul nama ‘Imah UIA’. Sudah pasti bukanku. Apa nama aku di dalam telefon ini ya? Hm, tekan sahaja nomborku. Nanti akan muncul namaku.

Aku terus mendail nombor telefonku dan muncul perkataan ‘Sayangku Fatimah’. Terasa malu dengan perkataan itu, merah mukaku. Stelang empat deringan, terdengar suara lelaki yang aku mula cintai mengatakan hello.

“Assalamualaikum. Abang, kita tertukar handphonelah!” ayat pertama yang meluncur dari mulutku.

“Waalaikumussalam. Patutlah lagu selawat mendayu-dayu. Ingatkan telefon orang lain tadi, tapi rasa vibrate kat poket. Lepas tengok-tengok Zauji Mahbub pula yang call. Saya dah pelik dah. Aku silap ambil telefon ke? Hehehe. Em, apa maksud tu?” tanyanya setelah tertawa.

“Zauji Mahbub tu suami tercinta, itu bahasa arab. Lepas tu macam mana bang? Nak Imah poskan ke?”

“La, tak payahlah. Hm, bagus juga tertukar handphone. Leh cek siapa pakwe awak.” Aku tersenyum malu mendengar jenakanya. Ah, aku tersenyum pun bukan kau dapat nikmati duhai suamiku. “Hm, biarkanlah dulu. Saya ni pun nak exam. Aman gak kalau telefon tak ada. Boleh fokus 100%. Kalau awak pos pun, nanti hilang siapa nak ganti?” katanya lagi dalam nada yang lebih serius

“Tapi nanti orang-orang penting telefon macam mana?” aku bertanya kebimbangan.

“Ala, tak ada yang nak telefon abang pun. Semua nak exam. Tapi awak tolong foward nombor Fahmi dan Nasir kat abang. Nak suruh dalah seorang ambil abang esok,” katanya memberi arahan. Senyumanku bertambah lebar tatkala mendengar dia mula membahasakan dirinya sebagai abang. Bukan lagi ustaz.

“Baik ustaz. Ha bang, satu lagi. Saya pasang security code kat handphone tu. Nombor security saya tarikh lahir abang tau!” pesanku. Kami menamatkan perbualan setelah bertukar salam. Perbualan mesra pertama kami bagiku. Ah, nanti macam mana aku nak uruskan telefonnya? Aku membiarkan sahaja persoalan itu dan membaca doa tidur sebelum terlelap.

Lagu dendangan ungu berjudul ‘Maafkan aku’ terdengar. Siapa pula yang menelefonku? Aku bangun malas-malas mencapai telefon di atas meja makan. Terasa sengal seluruh badan menolong ibu mengupas bawang yang berbakul-bakul. Selain menjahit, ibu turut menyertai kumpulan yang menyediakan gulai kawah ketika kenduri. Dan esok adalah kenduri kesyukuran di rumah Pak Imam. Kenduri di rumah kami minggu hadapan kerana Abang Azmi masih menduduki peperiksaan minggu ini.

“Assalamualaikum. Duk buat apa tu?” tanya suatu suara di hujung sana. Suara yang amat ku rindu. Rindu setelah ditinggalkan.

“Waalaikumussalam. Tengah kupas bawang. Esok kenduri kat rumah Imam Mahdi, kesyukuran sambut menantu. Abang Ilham kahwin. Ibu nak guna bawang malam ni. Lenguh la. Adik-adik tak balik lagi, jadi Imah buat sorang –sorang je. Ibu ke kedai beli rempah dengan Mak Som,” aku memberitahu dalam nada mengadu.

“Ala, kesiannya dekat dia. Hm, maaflah hari ini baru sempat telefon. Amboi, dah pandai mengadu ye sekarang?” Aku terdiam ditegur sedemikian. Adakah dia masih tidak dapat menerimaku? Sememangnya ini kali aku cuba bermanja. Walaupun pertama kali. Aku terdiam buat beberapa ketika. “Eh, merajuk ke? Abang gurau je la.”

“Maaf.”

“Ha, kenapa tak balas SMS abang? Dah beratus-ratus sms abang hantar, awak tak balas pun? Nak telefon mana lah sempat sayang oi.” Alamak, dia dah mula berleterlah pula. Oh, yang memenuhi inbox tu SMS darinya ke? Aku langsung tidak pernah membuka kotak mesej, kerana pada anggapanku ia adalah peribadi.

“Saya takut nak buka, takut mesej private dari Ita ke, Imah UIA ke,” kataku tergagap-gagap. Dia terdiam. Mungkin terkejut dengan nama-nama yang ku sebut.

“Abang teringat pesanan kawan abang yang dulu pernah belajar di Darul Quran, baru-baru ini sebelum abang aqad nikah. Suami itu pakaian bagi isteri, dan isteri itu pakaian bagi suami. Seharusnya tiada rahsia antara suami isteri. Dan masing-masing harus menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing. Dan juga perlu saling melengkapi.” Aku terkedu mendengar kata-katanya. Itu terkandung dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 187 : {{...Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka...}}

“Jadi seharusnya tidak timbul rahsia antara kita, Imah,” dia menambah lagi. Aku hanya diam membisu. Dia memohon untuk mengundur diri kerana perlu menyambung muraja’ah. Lusa, hari Isnin dia akan menduduki kertas yang paling susah, menurutnya ‘killer subject’. Dia memohon aku mendoakannya. Ayuhai suamiku, doaku sentiasa kuratibkan buatmu.

“Ummi pelik tetapi bersyukur. Tak pernah Azmi serajin ini. Berkat kahwin kot. Dengan hammalatul Quran pula tu,” kata ummi separuh berbisik kepadaku semalam, sebaik sahaja rumah Haji Raziff menutup pintu daripada menerima tetamu.

Aku hanya tersenyum. Entah, aku masih belum mengenalinya penuh. Namun aku dapat rasakan kerajinannya itu sebenarnya dia ingin mengelakkan diri daripadaku. Kewujudanku di sisinya di layan pada waktu siang, tetapi waktu malam dia cuba menjauhiku. Aku masih tidak mengerti kenapa. Adakah kami pengatin hanya di pelamin?

Kenduri di rumah ibuku berjalan lancar. Hasil kerjasama dan muafakat orang kampung, semua kerja menjadi mudah. Terasa bagai semua melibatkan diri dalam kenduriku. Ada yang menyumbang lembu, katanya sambil-sambil kenduri aqiqah cucu lelakinya yang kembar. Teratak usang kami telah diperluaskan sedikit sebelum hari kenduri.

Sebenarnya bukanlah usang sangat, cuma kalau dibandingkan dengan rumah abah, sudah tentu jauh berbeza. Rumah abah banglo dua tingkat, diperbuat daripada konrit. Rumah ibuku hanya rumah kayu setingkat. Rumah warisan moyangku. Alhamdulillah ia masih kukuh sehingga sekarang.

Dia turut datang membantu kami di rumah ibu, sehinggakan ibu menghalaunya kembali ke rumah. Kata ibu nanti hilang seri pengantin. Aku pula tidak lagi kembali ke rumah abah dan ummi sejak dia balik. Namun ku telah memohon izin darinya memandangkan terlalu banyak persiapan di rumah ibu. Ah, andai dia merinduiku, khabarkan sahaja. Jarak antara dua rumah itu hanyalah 700m. Hanya selang beberapa buah rumah. Siang dan malam boleh berkunjung. Tetapi yang hanya ku sedari, ekor matanya sering melihat pergerakanku. Hm, aku sendiri tidak memahaminya.

Aku melangkah masuk ke kamar peraduan setelah ummi mengesahkan tiada lagi kerja di dapur. Terdengar bunyi becok mulut ummi menghambatnya masuk menemaniku di dalam bilik. Ada-ada sahaja suamiku itu. Anak bongsu lelakilah katakan. Salam yang diberi ku jawab jelas. Adakah sudah tiba malam pertamaku? Aku hanya kaku duduk di birai katil. Memerhatikannya terus membaringkan diri menghampar selimut di atas dirinya.

“Tak nak tidur lagi ke?” tanyanya mematikan harapanku. Mungkin dia belum bersedia. Aku lantas membuka tudung, menyisir rambut dan membaca doa tidur sebelum berbaring. Ya ALLAH, jadikan hambaMU ini isteri solehah, doaku sebelum memejamkan mata.

Malam ini malam kelima aku bersamanya setelah kenduri di rumah abah. Sikapnya sama seperti dahulu tetapi kali ini dia menyibukkan dirinya dengan telefon bimbitnya. Aku pula sering menghiburkan hati dengan mendengar cerita ummi mengenai dirinya sambil menolong ummi di dapur. Nasib baik ummi mengusahakan kuih-muih tradisi. Sekurang-kurangnya ada pekerjaan yang menghiburkan hatiku yang resah memikirkan sikap suamiku yang sering bergayut di telefon. Namun ku hanya memendamkan masalah ini dari pengetahuan ummi.

“Dah la tu Imah, tinggalkan yang lebih tu. Biar ummi yang buat. Dah pukul 10 malam ni. Nanti Azmi ingat ummi dera kamu pula.” Kata ummi berjenaka. Ku faham maksudnya yang sebenar, menyuruhku pergi melayan suamiku di bilik. Aku hanya menurut arahan, bangun membasuh tangan dan melangkah ke bilik. Telinganya masih melekap di telefon bimbit. Walaupun dia berada di meja belajar, tapi ku tahu, dari selepas Isya’ tadi lagi dia bercakap di telefon. Siapakah di hujung talian sana? Mungkin sahabat lama barangkali. Kehadiranku tidak disedarinya.

Sempatku menangkap perkataan sayang, Nina dan berbagai lagi yang menyebabkan hatiku gusar sedikit. Adakah dia sedang berbicara dengan perempuan? Siapa perempuan itu? Adakah kekasihnya? Jadi kenapa dia...astaghfirullah. Aku cuba menenangkan diri. Mengambil tudung dan berjalan menuju ke arahnya lantas mencapai al-Quran terjemahan. Dia ternyata terkejut dengan kehadiranku lantas cepat-cepat ingin menamatkan perbualan dengan rakannya itu.

Aku dapat merasakan kedinginan yang bakal berlaku. Lantas aku menutup pintu bilik dan menguncinya. Berjalan perlahan-lahan dan duduk di atas katil. Aku membelek helaian al-Quran, tetapi aku tidak tahu ayat apakah yang wajar aku baca? Aku tidak dapat memberi tumpuan. Aku dapat merasakan dia merenungku.

“Dah lama ke awak masuk bilik?” tanyanya memecah kesunyian.

“Baru saja.” Aku menjawab ringkas. Aku menadah tangan membaca doa membaca al-Quran. Belum sempat aku mengaminkan doa, telefonnya berbunyi lagi. Dia tidak mengendahkan dan bangun menuju pembaringan. Aku hairan melihat lagaknya. Dia terus berbaring dan memejamkan mata sehingga telefon itu berhenti berbunyi. Aku memulakan bacaan dengan ta’awwuz. Baru sahaja ingin menghabiskan al-Fatihah, telefonnya berbunyi lagi. Dia terus tidak mengendahkan dan memeluk bantal yang berada di sisiku.

Aku bangun mencapai telefonnya. Tertera nama ‘Hanina’. Aku menyuakan kepadanya tetapi dia tidak mengendahkannya. Lantas aku menekan butang ‘answer’ dan mensetkan ‘loud speaker’, dia kelihatan kaget dengan keberanianku.

“Hello sayang! Kenapa you letak telefon? I belum habis cakap lagi,” kedengaran suatu suara manja yang ku kira cukup untuk menggoda nafsu seorang lelaki. “Sayang? Sayang? Kenapa you senyap?” dia bertambah kaku. Mungkin ternampak mataku mula bergenang.

“Em, I mengantuklah. You telefon lain kali lah ya? Bye.” Lantas dia mematikan talian dan terus mematikan telefon. Aku membetulkan kedudukan menghadap kiblat dan ingin memulakan bacaan al-Quran. Tiba-tiba dia menggenggam tanganku. “Maafkan abang.”

Aku tidak mengendahkannya. Aku meneruskan bacaan al-Quran, bermula dengan surah an-Nur ayat 21. Alunan yang cukup syahdu. Air mataku berterusan bertakung.

{{Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya dia (syaitan) menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan mungkar. Kalau bukan kerana kurnia ALLAH dan rahmatNYA kepadamu, nescaya tidak seorang pun di antara kamu bersih (dari perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi ALLAH membersihkan siapa yang DIA kehendaki. Dan ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi 9bantuan} kepada kerabat(nya), orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah ke jalan ALLAH, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa ALLAH mengampunimu? Dan ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sungguh, orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan baik, yang lengah dan beriman (dengan tuduhan berzina), mereka dilaknat di dunia dan akhirat, dan mereka akan mendapat azab besar.

Pada hari itu, (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.

Pada hari itu ALLAH menyempurnakan balasan yang sebenarnya bagi mereka, dan mereka tahu bahawa ALLAh Maha Benar lagi Maha Menjelaskan.

Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji untuk perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampun dan reseki yang mulia (syurga).}}

Aku tidak lagi dapat meneruskan bacaanku. Airmataku berterusan mengalir. Adakah aku tidak bersyukur dengan kurniaan ALLAH. Maafkan hambaMU yang lemah ini.

“Abang minta maaf Imah...” kata suamiku lirih melihat air mataku mengalir. Dia menyapu linangan air mata di pipiku.

“Siapa dia bang? Siapa Nina?” tanyaku teresak-esak. Dia tidak menjawab. Hanya diam membisu. “Andai dia istimewa di hati abang, kenapa abang terima Imah?” tanyaku lagi. Dia terusan membisu. “Adakah sebab dia, abang langsung tidak menyentuh Imah? Adakah sebab dia, abang selalu menjauhi Imah?” aku terusan bertanya. Terdengar keluhan panjang darinya.

“Andai Imah ingin tahu, sudah lama abang mengosongkan sebahagian hati abang untuk Imah. Sejak Imah menangkap abang ponteng kelas ketika darjah enam lagi. Rindu terhadap keayuan wajah Imah, lemah lembut dan sopan santun Imah sentiasa meronta di jiwa. Sebaik sahaja Imah memasuki Maahad Muhammadi, abang sentiasa mendengar kecemerlangan Imah melalui Khairin. Mungkin Imah tidak tahu dia adalah sepupu abang yang tinggal di bandar. Abang pun sentiasa menyuruh dia menyembunyikan hal itu.

Abang tambah terkejut ketika menemani abah melawat keluarga Imah sewaktu kita telah tamat tingkatan tiga, Imah telah memilih untuk menutup wajah Imah. Abang terkadang sedih kerana tidak lagi dapat melihat keayuan wajah Imah. Ada juga cubaan mengintai Imah sewaktu Imah ingin menjemur kain, tetapi tindakan keluarga Imah memasang zink sebagai penghadang telah menggagalkan cubaan itu. Terasa begitu rindu sekali dengan rupa wajah Imah. Sehingga abang demam kala itu, tetapi tiada siapa mengetahui akan hal ini.

Abang bertambah hormat kepada Imah tatkala Imah memilih untuk memasuki Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat. Walaupun sudah hampir 11 tahun kita tidak pernah satu tempat pengajian, rasa rindu terhadap Imah tidak pernah padam. Malah semakin bertambah tatkala mendengar cerita-cerita Imah daripada Khairin. Juga daripada seorang sahabat lama abang, Safwan yang juga memasuki maahad tahfiz yang sama dengan Imah. Mungkin Imah tidak mengetahui kehadirannya kerana dia terlebih dahulu menjejaki maahad tahfiz tersebut. Zaman kegemilangan Imah di situ merupakan tahun terakhir Safwan di situ. Segala kegiatan Imah abang diberitahu.

Terkadang abang rasa rendah diri ini sehingga abang merasakan abang sudah tidak layak untuk Imah, terasa terlalu hina berbanding Imah. Lantas abang menghiburkan hati dengan peminat-peminat abang yang terlalu ramai. Namun abang sedar, abang tak menemui apa yang abang cari. Abang tidak menemui sedikit pun bayangan Imah. Mereka hanya menghiburkan nafsu, tetapi bukan hati nurani abang. Sekarang begitu susah abang hendak melepaskan diri daripada mereka. Betapa sesalnya diri abang kerana memilih haluan sebegini.

Tatkala mengetahui niat hati abah ingin menyunting Imah, abang terus bersetuju tanpa memikirkannya. Abang yakin Imah adalah pilihan yang terbaik. Namun bila abang merenung diri kembali, kita terlalu jauh bezanya Imah.

Untuk pengetahuan Imah, abang terlalu biasa memegang, memeluk dan memberi ciuman kepada perempuan lain. Malah, abang pernah hampir-hampir merosakkan anak dara orang lantaran permintaan wanita itu sendiri di universiti. Tetapi bayangan Imah datang ketika itu menyebabkan abang tidak sanggup dan mohon untuk putus hubungan dengannya. Abang hina Imah. Abang kotor! Sebab itu sampai sekarang abang tak berani untuk sentuh Imah. Abang minta maaf!”

Aku terpaku mendengar penjelasannya. Lantas meluru ke arah tandas yang berada dalam kamar kami. Aku mengunci pintu tandas dan menangis di dalamnya. Terdengar ketukan darinya yang meminta maaf. Aku tidak mengendahkannya. Ya ALLAH, aku tidak tahan menempuh ujianmu!

Aku masih di atas sejadah. Sudah dua malam, aku menghabiskan malamku di sini, di sisi katil. Mentelaah al-Quran ku dan meratib nama-nama ILAHI. Aku hanya meluangkan waktu tengah hari sahaja bersama ummi, menolong ummi menyelasaikan tugasan rumah. Ummi seakan-akan mengerti bahawa aku dan anaknya mengalami masalah, tetapi hanya berdiam diri di hadapanku. Pernah ku terlihat dia berbicara sesuatu dengan Abang Azmi tetapi mendiamkan diri tatkala aku bersama mereka. Ah, mertuaku terlalu baik.

Aku tidak mengikut mereka ke masjid sebagaimana biasa atas alasan sakit kepala. Jadi, aku keseorangan di rumah. Terdengar kuakan pintu bilikku, suamiku muncul di balik tirai. Mengajakku makan malam, tetapi aku menolaknya. Seleraku sudah terbunuh kerana aku mendambakan kasih dari yang Esa. Dia lantas meninggalkanku setelah menggantikan pakaiannya.

Terdengar lagi pintu bilikku di buka setelah aku usai solat sunat taubat dan istikharah. Terdengar juga dia mengunci pintu bilik kami. Tiba-tiba dia muncul di hadapanku dan duduk bersila menghadapku.

“Abang dah bincang dengan abah dan ummi.” Aku memasang telinga dengan penuh debar. Apakah yang mereka bincangkan selama ini? “Abang rela melepaskan Imah pergi, kembali semula ke pangkuan keluarga Imah andai Imah tidak dapat memaafkan abang dan menerima abang sebagai suami Imah.”

Bagaikan halilintar berdentum di kepalaku mendengar perkhabaran itu. Lantas aku merenungnya dengan genangan air mata. Aku menggelengkan kepala. Dia merenungku memohon penjelasan. Aku kelu untuk bertutur. Terasa tangannya menyapu air mataku yang gugur di pipi. “Katakan sesuatu, sayang,” pintanya lembut.

“Abang, Imah...Imah tak bermaksud begitu. Andai abang bukan pilihan Imah, sudah lama Imah memprotes pinangan abang. Sudah lama Imah memberontak dengan ibu dan sudah lama Imah meninggalkan majlis kita abang. Maafkan Imah andai dua hari ini Imah tidak dapat menjalankan tugas Imah sebagai isteri. Imah dahagakan kasih sayang ALLAH, Imah pohon waktu mencari akal yang waras untuk memikirkan hikmah kita disatukan. Imah... Iman Imah masih lemah abang. Imah tidak sebijak wanita lain dalam hal ini. Maafkan Imah atas kelemahan Imah. Maafkan Imah tidak meminta izin abang terlebih dahulu untuk mencari belaian ALLAH.” Aku meluahkan segala yang ku fikirkan.

“Imah, abang yang salah dalam hal ini. Abang gagal membuang segala dosa-dosa yang abang telah lakukan. Abang gagal membuang perempuan-perempuan yang mengelilingi abang. Abang gagal mengangkat Imah sebagai Isteri,” terangnya yang mula teresak menangis. Ya ALLAH, ni yang aku paling lemah ni. Aku cepat simpati kepada lelaki yang menangis. Apatah lagi yang menangis ini adalah suamiku.

“Abang, sejak Imah mengetahui tujuan hidup ialah untuk keredhaan ALLAH, Imah telah menetapkan cinta Imah hanya untuk lima perkara. Cinta ALLAH, cinta Rasulullah s.a.w., cinta ibu bapa, cinta Islam dan cinta ummah. Kesemua lima perkara ini Imah letakkan di hadapan setiap kali cinta insani datang melamar hati Imah. Namun setelah ibu menerima pinangan dari abah yang mewakili abang, Imah tertanya-tanya.

Di manakah harus aku meletakkan suamiku di hatiku? Apakah aku terlupa bahawa aku akan menjadi isteri orang akhirnya. Rupanya, Imah tidak sedar. ALLAH telah menyembunyikan cinta terhadap suami yang menguasai satu pertiga hati Imah selama ini. Cinta terhadap nakhoda yang bakal mengetuai pelayaran Imah di lautan dunia. Imah akan hilang segalanya andai Imah kehilangan suami, abang. Dan suami Imah ALLAH telah tetapkan, iaitu abang!” suasana khali seketika. Hanya esak tangis kami berdua yang kedengaran.

“Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Isteri adalah pakaian untuk suami dan suami adalah pakaian untuk isteri. Abang harus ingat abang dua potong ayat ini. Jangan fikir abang hina di sisi Imah. ALLAH nak angkat darjat abang. Bersyukurlah abang, hargai Imah sebagai isteri. Angkat diri Imah sebagai isteri abang. Jangan jauhkan diri dari Imah.” Aku merayu sambil menyembamkan muka ke dadanya.

“Berseri-seri muka hari ni?” tegur ummi kepadaku sewaktu kami berempat mengadap meja makan untuk bersarapan. Mana tak berseri ummi, aku telah menjadi isteri sejati. Tapi aku hanya bisikkan di dalam hati. Biarlah itu menjadi rahsia, bermulanya episod baru dalam hidupku sebagai isteri Azmi Ali. “Hah, macam mana Mi?” tanya ummi kepada Abang Azmi.

“Alhamdulillah beres,” katanya tersenyum lebar sambil melirikkan mata kepadaku. Aku tersenyum malu.

“Alhamdulillahlah macam tu. Tak adalah kes-kes lari dalam hujan?” tanya abah separuh bergurau. Aku menggeleng kepala dan disambut tawa ummi, abah dan Abang Azmi. Alhamdulillah, aku mendapat sebuah keluarga yang bahagia.

“Em, abang. Bulan depan konvo kat Darul Quran,” aku memberitahu.

“Oh, nanti bolehlah abang kenal ketua lajnah awak.” Seloroh Abang Azmi, menyebabkan aku bertambah malu. Rupanya dia mengetahui isu semasaku. Tapi bagus juga andai dia mengenali mantan sahabat-sahabat sejawatan denganku. Semoga mereka memberi panduan kepadanya.

Ya ALLAH, ku mohon dia menjadi pejuang Islam suatu hari nanti. Dia ada keistimewaan tersendiri untuk agamaMU. Ku mohon ya ALLAH! Ameen...

Read More......

Monday, June 2, 2008


asslamualaikum...
buku yang baru di pasaran (mungkin)...Zahrah de Tigris ataupun dalam bahasa Melayunya Si Kembang di Sungai Tigris..
mengisahkan seorang wanita, Kharunnisa yang berhati keras dan degil, sanggup menjalani kehidupan di Iraq sewaktu tentera bersekutu Amerika datang menyerang Iraq semata-mata untuk mencurahkan bakti mendidik saudara seIslam di sana walaupun tidak pernah belajar Bahasa Arab Fusshah apatah lagi Bahasa Arab 'Ammi...
sebuah garapan 'hidup' daripada khairyn, bagi saya betul-betul menambat hati...segala fakta yang dikemukakan tepat dan tiada penipuan (bagi saya yang agak kurang mengambil perhatian perkembangan semasa) dan menyedarkan saya bahawa kita perlu ambil peduli nasib saudara kita di lain dan berusaha mengubah dan meringankan beban mereka walaupun hanya seuntai doa!
walaupun novel ini turut menyelitkan unsur cinta, tetapi bagi saya masih boleh diterima kerana cinta yang disentuh tidak terlalu diawangan dan tidak mengkhayalkan.
sebuah garapan yang agak hebat bagi saya kerana dapat menghidupkan watak yang(mungkin) tiada di alam nyata di tengah suasana sebenar...
wajar untuk para sahabat mengambil buku ini sebagai santapan...walaupun unsur dakwah bukan secara langsung tetapi sebagai generasi rabbani dan al-albab sewajarnya kita dapat mengaitkan dengan nilai-nilai agama dan kemanusiaan...
wallahua'lam

Read More......

Sunday, June 1, 2008

Catatan Firdaus

Firdaus! Mari solat!

Tak nak!

Tiap-tiap kali ibu atau ayah ajak solat, itu jawapan aku. Aku lebih suka main permainan komputer atau tengok kartun. Walaupun macam-macam pujukan yang disuakan, aku tetap tak mahu.

Pernah sekali aku solat berjemaah bersama ayah dan ibu, tapi mereka solat terlalu lama. Aku lebih suka berjemaah bersama Pak Anjang yang belajar di politeknik (seperti yang ibu beritahu) kerana dia solat tak sampai dua minit(setelah aku meneliti jam di dinding).

Namun Pak Anjang aku tak suka aku berjemaah di belakangnya. Lagipun dia memang tak suka aku. Dia lebih suka menghabiskan masa dengan kawan-kawannya di tepi longkang berdekatan dengan kawasan perumahanku (kalau di kampung nenek, bangsal). Ibu pun marah juga padanya, sebab bila ajak berjemaah dengan ayah, Pak Anjang menolak. Bila solat bersendirian, macam-patuk-patuk ayam saja.

Aku sudah lama tidak jumpa Pak Teh. Cik Su cakap Pak Teh belajar dekat Mesir, Universiti al-Azhar. Dulu dia belajar di Maahad Tahfiz. Cik Su beritahu Pak Teh nak balik bulan Ramadhan ni. Jadi Imam solat Terawikh di kampung. Sudah dua tahun lebih dia tak balik.

Ramadhan tahun ni aku berkira untuk menetap di kampung sehingga ibu dan ayah balik. Bosan duduk di rumah. Lagipun Ramadhan kali ini berkebetulan dengan cuti sekolah. Aku sekarang sudah darjah dua. Ramadhan tahun lepas memang amat bosan. Hanya tinggal dengan bibik, disamping mendengar Fathanah menangis, Faizal mengamuk kemudian menyepakku dan mulut becok bibik memarahi aku dan Faizal. Bukan aku buat salah tapi Faizal yang degil. Tertekan betul aku dengan perangai Faizal yang mengada-ngada.

Namun ibu dan ayah sayang betul kepada Faizal. Kata mereka Faizal tidak degil macamku. Diajak mengaji, dia terus patuh. Disuruh solat, dia tidak pernah berdalih. Diajar apa-apa perkara cepat sahaja ditangkapnya. Memanglah, dia tidak selembab aku. Hidup aku hanya dengan buku-buku sekolah dan komputer. Tidak bersosial seperti Faizal. Tidak pandai membodek macam Faizal.

Tapi dalam banyak-banyak perkara, satu perkara sahaja yang ayah tak tahan dengan si Faizal, suka berkasar denganku, berebut barangan denganku dan menengking-nengkingku. Boleh dikatakan setiap hari Faizal dimarahi kerana aku. Namun macam aku katakan tadi, bukan aku yang buat tapi Faizal yang degil.

Betul Firdaus nak balik kampung cuti sekolah ni? tanya ayah pada suatu malam.

Ya la ayah. Bosan duduk kat sini. Ibu dan ayah pergi kerja. Adik Fathanah asyik nangis. Faizal asyik marah-marah Firdaus. Tension la ayah! kataku sambil terus melihat kartun kegemaranku.

Isy, budak zaman sekarang kecil-kecil sudah pandai tension ya? Ibu cuba bergurau.

Walauapapun terjadi, aku tetap hendak balik kampung, walaupun aku tahu nenekku pasti paksa aku solat, mengaji al-Quran dan pergi masjid. Biarlah. Aku rela daripada hari-hari dipukul oleh adik sendiri.

Sehari sebelum Ramadhan bertamu, aku dihantar pulang ke kampung oleh ibu dan ayah. Walaupun tempoh persekolahan berbaki satu hari, aku tetap berkeras hendak pulang. Lagipun hari terakhir di sekolah tiada apa-apa yang menarik pun.

Cik Su menyambutku di rumah nenek dengan senyuman yang bergula(bagiku). Rumah nenekku(maksudku yang sebelah ibu kerana nenek dan datuk sebelah ayah sudah meninggal dunia-seperti kata ayah) jauh di Pantai Timur. Perjalananku dari rumah iaitu seksyen U6(seperti yang ibu cakap) ke rumah nenek di Pintu Geng (seperti Cik Su cakap) memakan masa lebih kurang 9 jam, sebagai mana yang aku kira.

Cuma aku hairan, kenapa Cik Su pakai tudung hari ni sewaktu di dalam rumah? Biasanya tak pakai pun. Bila ayah dan ibu balik hari Ahad kemudian, barulah dia melepaskan rambut paras dada yang ikal (seperti kata Tok Cik) itu. Aku tanya Cik Su sebaik sahaja ayah dan ibu bertolak pulang kerana ibu cakap bertanya salah satu kunci ilmu selain membaca. Katanya Cik Su dan ayah hanya adik-beradik ipar, jadi kena tutup aurat. Tak boleh buat macam adik-beradik kandung. Tapi kenapa Cik Su tak pakai sejak dulu, aku bertanya lagi. Cik Su bagitahu, dia baru sahaja tahu bila Pak Teh bagitahu.

Cakap pasal Pak Teh, ada suatu perkara aneh aku alami ketika bersamanya. Buat pertama kali aku berjemaah maghrib yang diimaminya, aku terus jatuh cinta kepada solat, malah solah berjemaah! Entah, aku rasa asyik mendengar bacaan ayat al-Quran yang dialunkan oleh Pak Teh. Sehingga aku lupa masa, dan merasakan amat pantas masa berlalu. Sedar-sedar saja sudah rukuk.

Kalau dulu, tak pernah sekalipun aku ke masjid atau surau untuk berterawikh, tetapi kali ini, aku yang mendahului orang lain. Ibu dan ayah nampak gembira sekali dengan perubahanku. Pah Teh cuba ajakku mengaji. Pada mulanya aku menolak kerana berasa sangat malu. Maklumlah, Faizal sudah hafaz sampai surah al-Dhuha, sedangkan aku, al-Fatihah pun belum betul lagi makhrajnya. Namun, setelah dipujuk-pujuk, akhirnya aku menurut.

Kuasa ALLAH, sewaktu aku mengaji bertalaqqi (seperti kata Pak Teh) sebaik sahaja selepas solat Terawikh aku menangis terisak-isak kerana beberapa kali tersangkut pada tempat yang sama, dalam surah AnNas. Hingga serak suaraku kemudian tidak keluar lagi kerana terlalu banyak lendir yang berkumpul di tekakku.

Akhirnya Pak Teh terpaksa berhenti dulu. Dia tenangkan aku buat seketika, memberi aku minum segelas air. Dia tanya, kenapa aku menangis. Aku menjawab, aku sedih dan malu kepada ALLAH kerana bila di ajak mengaji, aku tak mahu. Pah Teh pernah bagitahu sewaktu kuliah subuh di masjid, jika al-Fatihah tidak betul bacaannya ALLAH tidak akan terima solatnya. Sekarang, baru aku sedar pentingnya mengaji al-Quran.

Pah Teh cakap, sepatutnya aku bersyukur, ALLAH meniupkan nur hidayah ke dalam hatiku kerana sedar kepentingan belajar membaca al-Quran. Aku tanya Pak Teh, nur hidayah tu apa? Macam nama kawan kat sekolah saja. Pak Teh tersenyum. Nur hidayah tu cahaya petunjuk, gerak hati untuk kembali ke jalan yang benar, jalan yang di redhai ALLAH. Pak Teh ajar aku sujud syukur. Niat sewaktu sebut ALLAHUAKBAR, serentak dengan itu perlu sujud. Sewaktu sujud baca SUBHANALLAH, WALHAMDULILLAH, WALAILAHAILLALLAH, WALLAHUAKBAR. Kemudian bangun dan duduk tahiyyat akhir diikuti dengan salam.

Pak Teh cakap lagi, bukan senang nak cari budak yang minat al-Quran zaman sekarang ni. Seorang dalam seribu. Aku beritahu yang aku bimbang, aku tak pandai baca al-Quran lagi. Makhraj banyak yang salah. Pah Teh cakap, tak apa selagi ada masa perlu belajar. Ada sesetengah orang tak dapat sebut sesetengah makhraj, tapi tak berdosa selagi dia belajar untuk membetulkannya.

Pak Teh kata, setiap seorang yang baca al-Quran dengan fasih dan lancar dapat 10 kebajikan bagi setiap huruf yang dibaca. Sedangkan orang yang baca tersangkut-sangkut dan tidak fasih, sedang dia berusaha membaikinya, dia akan mendapat dua kali ganda.

Setiap malam sebelum tidur, Pak Teh selalu cerita kisah perjuangan Rasulullah sewaktu berdakwah. Tak pernah aku dengar cerita-cerita sebegini daripada ibu atau ayah. Aku amat asyik mendengar cerita Pak Teh, kadang-kadang sampai tengah malam. Aku juga tidak sabar menunggu hari esok untuk dengar kisah selanjutnya.

30 hari berpuasa terasa bagai seminggu cuma. Ibu dan ayah sudah sampai sejak semalam. Faizal kelihatan agak sopan sedikit, entah apa yang berlaku. Kata ibu dia rindukan aku. Aku ketawa kerana tidak percaya. Masakan rindu, bila ada di depan mata, asyik membuli aku saja. Malam ini malam satu Syawal. Kami sekeluarga termasuk bibik dikerah ke masjid olehku kerana Pah Teh akan jadi imam untuk solat sunat tasbih. Pak Teh kata dalam seumur hidup kita perlu tunaikan solat sunat tasbih paling kurang sekali seumur hidup. Lebih kerap lebih bagus.

Sebelum solat sunat tasbih, iaitu selepas solat ‘Isyak dan solat sunat ba’diah (bak kata Pak Teh), Pak Teh memberi penerangan tentang solat sunat tasbih terlebih dahulu. Solat ini dilakukan empat rakaat, sama ada dua salam atau satu salam, tetapi biasanya pada waktu malam dilakukan dua salam. Dan malam ini juga akan buat dua salam.

Jumlah semua tasbih 300, jadi setiap rakaat 75 tasbih. Selepas baca al-Fatihah dan surah pilihan baca 15 tasbih. Semasa ruku’, i’tidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud kembali dan duduk istirahah atau tahiyyat perlu baca tasbih sebanyak 10 kali. Jika lupa sudah berapa kali, baca lagi tasbih sehingga yakin mencukupi. Biar lebih asalkan kita yakin sudah cukup 300 tasbih. Tasbih yang di baca ialah SUBHANALLAH, WALHAMDULILLAH, WALAILAHAILLALLAH, WALLAHUAKBAR, WALAHAULA WALAQUWWATA ILLABILLAH.

Semasa solat sunat tasbih, Faizal tertidur sewaktu sujud rakaat ketiga sehingga selesai solat. Aku tersenyum sendirian. Aku juga mengantuk, beberapa kali terlelap, tetapi aku gagahkan diri kerana aku ingin memohon keampunan Tuhan. Selepas salam, aku memangku kepala Faizal. Dia terlalu nyenyak tidur sehingga tidak sedar ketika aku mengalihkan kepalanya. Entah kenapa, aku rasa kasih yang amat sangat kepadanya walaupun dia selalu memukulku.

Keesokan harinya, selepas solat sunat hari raya, kami sekeluarga bersalam salaman dan bermaaf-maafan. Pak Teh tidak menegah, cuma dia cakap muslim Melayu sudah terbalik. Sepatutnya masuk Ramadhan bermaafan, masuk Syawal bergembira kerana berjaya menempuh Ramadhan. Takbir hari raya pun sayu saja. Sepatutnya bersemangat. Cik Su tanya, kenapa tak ubah sewaktu Pak Teh mengetuai takbir. Pak Teh jawab dah ubah, tapi orang yang ikutnya tak ubah-ubah pun nada sayunya itu. Hari Raya Aidil Fitri sepatutnya sehari manakala Hari Raya Aidil Adha empat hari, tetapi yang jadinya Hari Raya Aidil Adha sehari, Hari Raya Aidil Fitri sebulan. Mentang-mentang puasa sebulan.

Sewaktu tolong Cik Su yang tengah basuh pinggan, Cik Su bagitahu hari raya ketiga Pak Teh akan kahwin. Aku tanya balik, kahwin tu apa? Ibu tolong jawab, kahwin tu macam ibu dengan ayah la. Nanti Firdaus dah tak boleh tidur dengan Pak Teh lagi. Aku terkejut mendengar perkhabaran itu. Dah tak boleh tidur dengan Pak Teh? Dan tiada siapa lagi yang akan cerita kepadaku sebelum tidur nanti?

Aku melangkah longlai keluar dari dapur ke sebuah pohon mangga di tepi rumah nenek. Pak Teh dah nak kahwin lusa? Aku dah tak dapat tidur dengannya. Tiada lagi Sirah Perjuangan Rasulullah yang dapat aku dengar. Tiada lagi orang yang dapat mengajar aku mengaji. Nanti bila isteri Pak Teh dah beranak, tiada lagi kasih sayang dari Pak Teh. Aku terpinggir. Dah tak boleh berjemaah dengan Pak Teh. Dah tak dapat dengar Pak Teh baca al-Quran dengan pelbagai jenis tarannum. Tanpa ku sedar air mataku gugur ke bumi. Dadaku sebak.

Kenapa ni? Pak Man, sepupu ibu yang sebaya dengan Cik Su bertanya. Aku mengesat air mata dan menggeleng kepala. Takkanlah tak ada sebab boleh menangis tiba-tiba? Kurang-kurang mesti sebab mata masuk habuk ke? Kata Pak Man lagi.

Aku hanya mampu senyum. Firdaus tak suka Pah Teh kahwin. Aku mula membuka mulut setelah lama melayan perasaan.

Kenapa pula? Bukankah bagus berkahwin ni? Salah satu sunnah Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Aku menyambut selawat yang disebut. Ustazah cakap apabila ada orang sebut nama Rasulullah sallallahualaihi wasallam, maka kita kena sambut dengan selawat sebab orang yang tak berselawat ke atas nabi apabila nama baginda disebut termasuk dalam orang yang kedekut.

Tapi, nanti tak ada siapa nak temankan saya tidur, nak bercerita tentang sirah perjuangan Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Air mataku mengalir kembali.

Lahaula walaquwwata illabillah. Itu ke penyebabnya kamu menangis? Firdaus, memanglah fitrah manusia bila suka sesuatu, dia tak nak lepaskan. Dia rasa itu miliknya seorang sahaja. Tapi Firdaus kena ingat, semua itu milik ALLAH subhanahu wata‘ala. Ini baru berpisah sebab Pak Teh nak kahwin saja, nanti kalau Pak Teh pergi buat selamanya, takkan Firdaus nak meraung-raung? Pak Teh kahwin saja Firdaus. Memanglah dia tak tidur dengan Firdaus. Tapi boleh saja kalau kamu minta dengan dia, asalkan jangan acap kali. Nanti terasa pula isterinya. Kalau cerita tentang sirah tu, Pak Teh boleh saja ceritakan. Tapi ubahlah waktu. Waktu petang ke, waktu malam ke. Bukan waktu sebelum tidur macam biasa la. Pak Man pun boleh gantikan Pak Teh juga.

Aku hanya tunduk membisu. Betul juga Pak Man cakap. Pak Teh cakap sunnah Rasulullah sallallahualaihi wasallam itu perlu jadi ikutan. Lagipun takkan Pak Teh membujang seumur hidup kerana aku? Tak logik!

Malamnya Pak Teh bersembang denganku seusai menolong nenek mengemas dapur selepas makan malam. Pak Teh tanya aku, betul ke Firdaus menangis bila dengar Pak Teh nak kahwin. Aku sekadar membisu. Diam tandanya setuju, Pak Teh menambah lagi. Aku tetap berdiam diri. Pak Teh bertanya lagi, Firdaus faham ke tak kenapa umat Islam perlu kahwin?

Aku menggelengkan kepala, kemudian bersuara. Mungkin sebab mereka nak anak. Pak Teh hanya tersenyum mendengar jawapanku.

Pak Teh bagitahu, kahwin ini bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, menjaga kelangsungan generasi manusia, mengembangkan masyarakat Islam, mencegah daripada keruntuhan akhlak, mewujudkan ketenteraman jiwa dan mengeratkan silaturrahim.

Aku terpegun dengan penjelasan Pak Teh. Bukan kerana kagum tetapi kerana tak faham.

Pak Teh menambah penerangan lagi. Fitrah manusia ni Firdaus, mereka suka disayangi dan menyayangi seseorang tambah-tambah berlainan jantina. Atau orang sekarang kata bercinta. Macam Pak Anjang kamu yang selalu kacau Kak Samihah anak Tuk Nab tu. Itu fitrah sebenarnya. Tapi umat Islam sekarang banyak silap, sebab mereka tak ikut garis panduan Islam. Nak bercinta tak salah, tapi kena halalkan perhubungan dulu. Caranya, kahwin.

Lepas kahwin, mesti nak anak. Sebab apa? Sebab nak sambung generasi. Manusia ni Firdaus, mesti nak ada generasi sendiri, dari keturunan sendiri bukan keturunan orang lain, bukan anak orang lain. Sebab tu sesetengah orang yang tak ada anak, tetap berusaha untuk ada anak sendiri. Walaupun terpaksa berjuta-juta ringgit habis. Jadi, kita kena bersyukur tau sebab ALLAH permudahkan mak bapak kita untuk dapat zuriat sendiri.

Anak ni pula perlu diasuh dengan agama Islam. Rasulullah sallallahualaihi wassalam pernah bersabda, “didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara, iaitu mencintaiku, mencintai ahli keluargaku dan ajarlah al-QURAN kepada anak-anakmu”. Jadi boleh buat kesimpulan di sini bahawa, berkahwin sebenarnya proses untuk melahirkan jundullah, askar-askar ALLAH atau kata orang asli soldier of ALLAH (aku tergelak tatkala mendengar ungkapan orang asli).

Bila dah kahwin ni, kita dapat elak daripada keruntuhan akhlak tau! Tiada lagi pelacur, perbuatan zina dan yang sewaktu dengannya. Maka tak wujudlah kes-kes buang bayi, mengugurkan kandungan atau mengandung luar nikah. Maruah terjaga, kehormatan terbela dan malah dipandang mulia. Secara tak langsung, ketenteraman jiwa pun terpelihara. Rasulullah pun ada bersabda, salah satu daripada perkara yang perlu disegerakan ialah mengahwinkan anak perempuan apabila cukup umur. Maknanya Rasulullah amat menggalakkan perkahwinan.

Kahwin ni juga mengeratkan silaturrahim. Macam Pak Teh ni, kahwin dengan orang Sabah yang duduk di Selangor. Jadinya, keluarga tunang Pak Teh di Sabah ni berkenalan dan terjalin hubungan dengan keluarga kita. Padahal selama ini tak pernah kenal. Bukankah itu bagus? Menyahut tujuan ALLAH menciptakan manusia untuk saling berkenalan. Firdaus faham sekarang?

Aku mengangguk. Rupanya setiap suruhan ALLAH itu terlalu banyak hikmah. Dan ALLAH tak syariatkan sesuatu itu untuk membebankan manusia, tetapi untuk kebaikan mereka sendiri juga. Walaupun aku masih bersedih kerana ibu cakap kita akan tinggalkan Pak Teh di rumah isterinya selepas selesai majlis perkahwinan, tetapi aku perlu fikir kebaikan yang banyak lagi mengekori kesedihan itu.

Aku teringat surah Al-Insyirah yang baru aku hafal semalam. Ayatnya amat indah sekali. Dua kali ALLAh tegaskan bahawa sesudah kesusahan itu ada kemudahan. Inilah azimatku untuk terus belajar membaca al-QURAN. Malah aku menghafaznya terus, kerana Pak Teh ingin aku lebih hafaz al-QURAN daripadanya.

Malam itu aku melihat gambar bakal suri Pak Teh. Cantik! Amat cantik! Bagai bidadari di dunia. Pah Teh menegurku, bahawa kecantikan itu hanya semntara. Kerana nilaian di sisi ALLAH ialah taqwa.

Lusa, hari bermakna buat Pak Teh. Juga hari perpisahanku dengan Pak Teh kerana dia bakal tinggal di rumah isterinya buat seminggu. Dan aku pula perlu kembali ke rumah walaupun cuti persekolahan masih panjang. Ibu kata kami akan pulang kembali ke rumah nenek dua-tiga hari selepas perkahwinan Pak Teh kerana majlis menyambut menantu pula akan diadakan. Dan aku akan tinggal di rumah nenek kembali sehingga seminggu sebelum persekolahan bermula. Cuma aku kurang gembira apabila ibu menyatakan bahawa Faizal akan bersamaku. Tapi aku tidak dapat berbuat apa-apa.

Aku tidak mahu fikir apa yang bakal berlaku. Selagi ada masa, aku ingin menuntut ilmu dengan Pak Teh kerana dia bakal pulang ke Mesir semula untuk menyambung pengajian. Baru aku tahu umur Pak Teh masih muda. Baru mencecah 20-an. Aku agak terkejut kerana dalam umur yang sebegitu muda Pak Teh sudah ingin berkahwin. Tapi bila teringat balik tujuan sebuah perkahwinan seperti yang diberitahu oleh Pak Teh, aku mengerti.

Mulai malam itu, aku memasang azam untuk menjadi seperti Pak Teh. Mahir dalam bidang agama. Dan malah mungkin aku mahu jadi lebih daripadanya, menguasai ilmu sains dan agama. Jadi, aku perlu bersungguh-sungguh mulai sekarang. Tiada perkataan main-main dalam hidupku.

“Sesungguhnya bersama kesusahan itu kemudahan.”

Read More......

Wednesday, May 28, 2008

Novel ISLAMI

Bismillahirrahmanirrahim....
Assalamualaikum w.b.t.
Ramai penulis2 baru lahir membawa novel berbentuk islami...alhamdulillah...jika dulu hanya boleh dikira dengan jari...sesetengah mungkin ada ciri ISLAM tetapi mesejnya tidak tertumpu untuk berdakwah...sekadar untuk menunjukkan bahawa betapa baik dan mulianya watak yang dipersembahkan...itu bagi saya tidak cukup...
mungkin yang berlatar belakangkan pendidikan agama sahaja yang berjaya menyampaikan dakwah melalui penulisan...namun tidak mustahil sekarang untuk seorang profesional kerana mereka juga berlajar agama dan mereka adalah MUSLIM!...
mungkin saya hanya pandai untuk menikmati tulisan orang sahaja, jauh untuk mengkritik apatah lagi menulis kerana otakku belum cukup kritis...teringin mendengar komen2 dari penulis terkenal, namun siapalah diri ini, tidak berani menghantar karya ke majalah2 ataupun surat khabar...hmm...cukup untuk kepuasan diri...
Mungkin saya bakal letakkan karya saya disini...sekadar untuk mendengar komen(itupun kalau ada yang baca...hehe)...
wassalam

Read More......