Friday, September 11, 2009

RISALAH MAHABBAH

Angin menerpa ke muka menghilangkan bahang panas disekeliling. Ah! Sememangnya siang di musim panas di Mesir sungguh memenatkan. Namun ku gagahi jua kaki melangkah demi sebuah perjuangan. Cuba melontar fikiran ke lain supaya keperitan sekeliling dilupakan seketika.
Dia telah berlalu meninggalkanku. Ah! Kenapa harus ku fikirkan dia lagi? Aku cuba koreksi diri kembali, apakah selama mengenali dia mendatangkan lebih banyak manfaat atau keburukan? Sudah pasti keburukan, kerana dia melalaikan aku daripada tujuan asal menjejaki bumi ini. Tujuan mencari ilmu dan mentarbiyah hati sebagai seorang da'i. Mulai saat ini telah aku tekadkan di dalam hati, hanya lautan ilmu yang aku sanggup redahi. Aku tidak mahu lagi lemas dalam lautan cinta yang penuh gelora.

Ya! Saat ini, gerakan dakwah yang aku utamakan. Aku sibukkan diri dalam semua aktiviti persatuan. Tidak sanggup lagi membiarkan fikiran terlayang walaupun sebentar terhadap kesedihan yang aku lalui kerana dia. Ah! Hati ini terfikirkan dia lagi. Wahai diri, ingatlah hidupmu hanyalah untuk dimuliakan dan matimu hanyalah mati syahid.
Sekarang, aku harus susun hidupku. Hidup sebagai seorang mujahidah. Mencari ilmu menghilangkan kegersangan minda. Juga mencari tarbiyah menghilangkan penyakit jiwa. Tarbiyah bukan sesuatu yang didapati melalui pembacaan atau majlis ta’lim. Namun ia memerlukan seorang murabbi yang khusus. Itu pesan sahabatku di tanah air.
Pentingnya kasih sayang dalam dakwah semakin lama semakin ditoleransi oleh mindaku memandangkan sentuhan mahabbah itulah yang memudahkan risalah dakwah diserap dari hati ke hati. Itulah yang ku sedari tatkala menelusuri sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh guruku. Ini yang ku dapat setelah kekecewaan ku ubat dengan pencarian ilmu tasawwuf. Suatu ilmu yang sudah tidak ramai pentingkan lagi sekarang akibat serangan minda pihak barat, sehingga menangkis segala akhlak-akhlak mulia yang sewajarnya didapati daripada seorang murabbi.
Jika sewaktu hayat Rasulullah s.a.w. baginda sendiri yang menjadi murabbi yang menyentuh hati para sahabat r.a. dengan akhlak mulia yang diumpamakan oleh Sayyidatina 'Aisyah seperti al-Quran. Tarbiyah yang dijalankan dengan proses ‘sohabah’ iaitu berdamping bersama murabbi amat penting.

Aku kembali mengeluh. Perjalanan berbaki setengah kilometer lagi menuju ke destinasi iaitu rumahku. Kebingitan bunyi hon kereta yang lalu-lalang sudah lali dipendengaran berbanding sewaktu aku mula-mula menjejakkan kaki di bumi sahra ini. Bagai terbayang lagi saat mula-mula bertapak di sini. Perjalanan yang sebenarnya dekat dirasakan jauh. Berjalan kaki dianggap sesuatu yang menyusahkan kerana terbiasa menaiki motokar di Malaysia. Waktu itu bagai terbayang, bagaimana akan kuteruskan perjuangan di bumi ini yang memerlukan banyak kerahan tenaga. Namun sekarang bukan lagi persoalan, ‘alah bisa tegal biasa’ sebagai mana kata-kata orang terdahulu.

Fikiran kembali berputar, sekitar persoalan yang timbul sebentar tadi.Bagiku manhaj tasawwuf ada rasionalnya, kerana pengalaman menunjukkan bahawa sentuhan kasih sayang manusia dengan cara yang lemah lembut berjaya menundukkan hati manusia, hatta jika diminta untuk melakukan kejahatan pun mungkin boleh terpujuk. Namun, untuk melakukan kejahatan itu, cinta kepada Allah pula yang akan jati batasan. Begitulah manhaj yang sepatutnya dibawa oleh para pendakwah, bukan dengan cara ugutan atau tawaran ganjaran di dunia apatah lagi melalui mata pedang.

Kesedaran terhadap pencarian ilmu semakin membara di dalam diri memandang perasaan rugi terhadap masa yang telah dibazirkan selama ini menebal di dalam diriku. Ya Allah, ampunkan diriku. Tidak pernah kurasakan untuk mengabaikan saudara seaqidah di bumi tertidas seperti Palestin dan Afghanistan. Betapa aku tidak aku menghargai nikmat keamanan dan kebebasan dalam mencari ilmu dan meneruskan perjuangan, kerana aku telah tersalah meletakkan matlamat dunia. Ya Allah, ampunkan aku.

“Sewajarnya kamu lebih menumpu kepada pencarian ilmu sapanjang keberadaan kamu di sini. Bukan bergiat aktif di dalam persatuan.” Itu pesan salah seorang guruku. Namun apabila difikirkan kembali, aku berpendapat tidak sesuai kerana fatrah sekarang sudah menjadi kewajiban kita untuk menyertai jemaah Islam. Almarhum Ustaz Fathi Yakan juga telah menyatakan di dalam bukunya yang masyhur iaitu buku ‘Maza Yakni Intimai Lil Islam’ dalam bahagian dua, bab dua yang bertajuk “Saya mestilah meyakini bahawa beramal untuk Islam adalah wajib”. Jadi bagiku keduanya perlu diseimbangkan kerana ilmu adalah salah satu perkara asas juga di dalam kehidupan. Namun setakat ini aku gagal keduanya, kerana tertumpu kepada kedunian, kedunian yang sungguh melalaikan. Duhai Tuhan, ampunkan daku.

“Hooon!!! Hooon!!!”

Bunyi hon kereta mengejutkan aku. Masya-Alllah, langsung tidak tersedar aku berjalan telah melampaui bahagian bahu jalan sehingga hampir-hampir dilanggar kereta tersebut. Aku berpaling ke arah pemandu yang ternyata menunjukkan rasa marah sambil mencaci-maki dalam bahasa arab. Aku sekadar tertunduk. Tersenyum sendirian. Alahai, berfikir sampai hampir dilanggar. Kaki terasa lenguh kerana telah berjalan lebih kurang 3 kilometer. Sabar wahai diri, berkorban demi ilmu. Esok aku akan menapak ke masjid Al-Azhar pula, biarlah terasa jauh dan mungkin terpaksa berseorangan lagi. Semuanya demi secebis ilmu.

Telefon bimbitku berbunyi. Aku pantas menekan butang hijau menerima panggilan tanpa melihat siapa yang menelefon. Suara yang di dengar bagai pernah di dengar. Oh!

“Assalamualaikum. Ustazah Majidah”

“Waalaikumussalam. Ya, saya?”

“Ustazah, ini nak beritahu, esok ada mesyuarat lajnah esok, pukul 10 pagi. Nanti tolong maklumkan kepada ketua biro. Ana tak dapat hubungi dia. Lagipun, ni kredit last ana ni.”

“Em insyaALLAH ustaz. Assalamualaikum.”

Aku terus memberi salam dan menekan butang merah untuk memutuskan perbualan. Sebenarnya aku agak kurang selesa untuk berbual dengan mana-mana ustaz kerana hatiku masih tidak dapat menerima sesiapa sahaja yang bernama lelaki. Tambahan pula, ustaz ini terlalu banyak bercanggah pendapat denganku. Walaupun aku tahu, apa-apa sahaja dia terlebih dahulu menghubungiku berbanding ketua biro walaupun aku hanyalah setiausaha biro. Aku sendiri hairan dan aku pernah menegur sikapnya. Aku sendiri lebih selesa andai dia menghantar mesej sahaja. Lebih menjaga hati. Astaghfirullah.

Aku membelok ke arah kiri meninggalkan jalan raya besar yang tidak pernah lengang dengan kereta. Bangunan rumahku hanya selang tiga bangunan daripada bangunan yang berada di sebelah kiri persimpangan hadapan. Rumah di tingkat lima. Menambahkan lagi keletihan kakiku. Wahai hati, bersabar dengan mehnah dunia. InsyaALLAH ada ganjaran di sana kerana ini semua perjuangan berlandaskan syariat.. Berbalik kepada soal mesyuarat tadi. Masya-Allah! Esok aku mahu pergi ke Masjid Al-Azhar yang telah pertama kali ku jejaki minggu lepas. Bagaimana ya?

Sambil terus menapak ke rumah, aku menaip mesej kepada Kak Sofia Suhana, Ketua Biro Pengetahuan menyatakan mesyuarat esok. Ada program mega yang akan dilancarkan dua minggu lagi. Disebabkan itu, mesyuarat demi mesyuarat giat dijalankan bagi memastikan segala yang dirancang berjalan lancar.

Sampai sahaja di rumah, aku terus menyerbu bilik teman serumahku, yang juga seniorku malah sahabat tempat meluah rasa. Terus duduk tanpa menukar pakaian dan termenung. Dia tersenyum melihat telatahku. Sememangnya dia faham perasaanku. Zinnirah, siapa tidak kenal, lemah lembut dan cukup memahami sahabt.

“Kenapa ni? Masalah apa pula? Ilmi telefon pula ke? Ke dia buat apa pula?”

“Tak lah. Ilmi tu dah lupus daripada handphone Ida. Dia pun tak mungkin nak telefon Ida, Ida bukan sesiapa bagi dia. Ni, pasal Ustaz Faisal.”

“Kenapa pula dengan Ustaz serba tahu tu?” Gelaran Ustaz serba tahu hanya Kak Zinnirah yang guna disebabkan Ustaz ini merupakan ketua Lajnah Pengetahuan. Kak Zinnirah sememangnya seorang yang agak lucu.

“Ada ke patut dia telefon saya bagitahu ada mesyuarat. Tak boleh ke bagitahu Kak Sofia sahaja? Geram betul.”

“Dia minat kat awak kot.”

“Eh, tolong sikit. Dia kan dah ada tunang. Mengarut la kalau nak kat saya pula. Lagipun siapa la saya ni. Kalau letak kat pasar pun tak ada orang nak beli pun.”

“Eh tapi rasanya biqia’ nak lagi rasanya.” Katanya sambil kewata.

“Iiiieeee!!! Kak Zie ni, suka sangat buat lawak macam tu. Orang duk tengah serius ni.”

“Ok…ok…Rasanya itu bukan masalah utama awak. Sebab soal ni biasanya awak dah biasa hadapi. Bila akak tilik-tilik, renung-renung muka awak ni, lain. Mesti ada masalah lain, kan?”

“Akak ni memang cukup memahami. Em, macam ni akak. Esok ada mesyuarat. Pukul 10. Tapi time tu kan, saya nak pergi masjid al-Azhar. Macam mana ni kak. Yang mana nak pergi ni?”

“Hmmm…Baik, kita kembali balik kepada fiqh aulawiyat. Rasanya akak pernah terangkan dulu kat awak. Mesti lupa balik ni.” Aku tersengih mengiyakan. Sememangnya aku tidak pernah mengambil kira aulawiyat tetapi melakukan segala tindak tanduk mengikut gerak hati. “Kalau ikut kaedah yang sebenar, kita perlu bahagi kepada tiga bahagian. Dharuriyyat, perkara yang asas atau penting, Hajiyyat, keperluan kita dan Tahsiniyyat iaitu sekadar nak mencantikkan lagi. Dalam bab dharuriyyat pula, ada 5 aspek yang kita perlu utamakan ikut susunannya iaitu agama, nyawa, akal, keturunan atau maruah diri, dan harta.”

“Jadi macam mana nak kaitkan dengan masalah saya ni?”

“Jadi, antara kedua keadaan tu, macam mana kedudukannya di sisi awak?”

“Em, bagi saya sama penting. Belajar pun penting, persatuan pun penting. Isy, susahnya nak pilih.” Aku mengeluh kembali. Keduanya penting bagiku. Untuk mewwujudkan suasana win-win tidak mungkin kerana aku tidak dapat membahagi dua diriku.

“Macam ni, ini pendapat akak la. Fikir dari segi maslahah. Kalau Ida pergi kelas, adakah bagi kesan kepada ahli mesyuarat sampai terbantut perjalanan mesyuarat. Kalau Ida pergi mesyuarat adakah akan membantutkan perjalanan kelas. Kena pilih antara dua itu. Bagi Ida sendiri, Ida cenderung yang mana?” soalan dilontarkan ileh Kak Zinnirah.

“Tak pasti la akak. Saya rasa dua-dua penting.”

“Em, akak rasa lebih baik kalau Ida pergi mesyuarat sebab sebab Ida kan orang penting juga dalam biro, setiausaha lagi. Lagipun akak tengok Ida selalu boleh bagi idea bernas kepada persatuan. Kelas tu, Ida boleh bagi MP4 kepada kawan-kawan.”

“Masalahnya siapa yang nak pergi kak?” aku terus memotong penerangan Kak Zinnirah.

“Em… Esok sabtu, kan? Akak free je. Boleh je akak pergi. Dah lama tak jejak kaki ke Masjid Azhar. Kak Syarifah pun asyik Tanya bila akak nak pergi semula.”

Mataku bercahaya. Alhamdulillah penyelesaian telah dapat diputuskan. Hatiku mula lega. Semangat bertambah membara untuk meneruskan perjuangan. Perjuangan yang memerlukan ilmu thaqafah dan ilmu dalam memainkan mahabbah dalam berdakwah. Perjuangan risalah mahabbah. Alhamdulillah wa Insya-Allah.

Glosari
Biqia’ – barang terpakai (bahasa pasar arab Mesir)

Read More......